Kerajaan Pulau Pinang menyerahkan kepada Pesuruhjaya Sukan untuk mengambil tindakan terhadap Penang Amateur Athletic Association (PAAA) susulan insiden rempuhan pada acara larian anjuran persatuan itu Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan berhubung kegagalan pihak PAAA memaklumkan mengenai penganjuran acara tersebut.

Menurut Lip Chee, pihaknya kesal kerana penganjur acara Annual Round The Island Relay itu tetap meneruskan acara berkenaan walaupun tidak mendapat sokongan kerajaan negeri.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menyampaikan pampasan kepada atlet Muay Thai yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dekat Komtar, di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian jam 4 pagi Ahad, pelajar tingkatan empat Cheah Ting Cong dan marsyal acara Lee Foo Beng, 51, cedera parah selepas dilanggar sebuah kereta ketika menyertai maraton 'PAAA Annual Round The Island Relay" di Bayan Lepas.

Acara larian sepanjang 72.63KM itu bermula di Padang Kota dan melalui Jalan Gelugor, Bayan Lepas, Sungai Batu, Balik Pulau, Genting, Sungai Rusa, Sungai Pinang, Teluk Bahang, Batu Feringhi, Tanjung Bungah dan Tanjong Tokong sebelum kembali semula ke Padang Kota.