Diisytihar zon hijau COVID-19 bukanlah isyarat bagi penduduk setempat untuk mengambil pendekatan endah tak endah dalam mengamalkan jarakan sosial, kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata orang ramai harus menerima hakikat untuk berubah kepada kehidupan normal baharu.

"Apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam peraturan jarakan sosial, adalah intervensi kesihatan awam yang penting, dapat membantu menghentikan penularan COVID-19.

"Tetapi jika orang ramai mengambil pendekatan acuh tak acuh dalam jarakan sosial, jadi masyarakat harus bersedia untuk menanggung pandemik COVID-19 bagi tempoh yang panjang," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif pada Isnin.

Dr Ismuni yang juga Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan berkata untuk mengekalkan status zon hijau COVID-19 sebenarnya adalah cabaran yang besar bagi petugas kesihatan.

"Memerlukan komitmen yang tinggi daripada kami sektor penjagaan kesihatan, semua agensi kerajaan serta sektor swasta dan terutama penduduk tempatan sendiri," katanya.

Wilayah Persekutuan Labuan diisytihar sebagai kawasan kelima zon hijau COVID-19 di negara ini selepas mencatatkan sifar kes atau tiada kes aktif sepanjang tempoh 14 hari, pada 2 April lepas.

Selain Labuan, Perlis, Kedah, Kelantan dan Perak juga berstatus zon hijau, berdasarkan infografik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (KKP) Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2 April dan sehingga kini terdapat 91 kawasan zon hijau.

Dr Ismuni berkata dengan pembukaan Lapangan Terbang Labuan dan Terminal Feri Labuan, ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penduduk tempatan masih terdedah kepada virus itu dan kemungkinan mendapat kes import masih tinggi sementara langkah pencegahan menjadi lebih sukar.

"Sehubungan itu, saya merayu penduduk tempatan untuk tidak memandang ringan kerana Malaysia masih belum memenangi peperangan ini lagi," katanya memberi peringatan.

-- BERNAMA