Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pendaftaran gabungan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi masih dalam perancangan.

Hamzah berkata perkara tersebut masih dibincangkan oleh parti-parti dalam pakatan tersebut.

“Kami sedang rancang dan saya ingin maklumkan perancangan memerlukan kerjasama daripada semua parti (dalam PN).

“Masing-masing mempunyai perlembagaan dan prosedur, dan kami meminta supaya semua parti dapat menyelesaikannya dengan secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penyerahan kapal peronda kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Pelabuhan Klang pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan tempoh masa tertentu yang ditetapkan bagi pendaftaran PN sebagai sebuah gabungan secara rasmi.

Dalam perkembangan lain, Hamzah yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri menyaksikan penyerahan dua Kapal Ronda Generasi Baru (NGPC) iaitu KM Kota Kinabalu dan KM Tok Bali berkata ia adalah bagi memperkasakan lagi penguatkuasaan Maritim Malaysia dalam membanteras kesalahan-kesalahan di dalam Zon Maritim Malaysia (ZMM) terutamanya isu pencerobohan bot nelayan asing.

Katanya, dua kapal tersebut merupakan lima daripada enam kapal NGPC yang diterima Maritim Malaysia, manakala kapal keenam masih dalam proses pembinaan.

Perolehan enam NGPC tersebut melibatkan kos berjumlah hampir RM400 juta dan dibina sepenuhnya di dalam negara oleh syarikat tempatan Destination Marine Services Sdn Bhd.