Sejumlah 260 murid dan orang awam di Pasir Gudang dikesan mengalami simptom loya, muntah dan sesak nafas dipercayai akibat pencemaran bahan kimia pada Selasa.

Murid terbabit adalah daripada Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort.

Daripada jumlah itu, 102 murid adalah dari SMK Tanjung Puteri Resort dan selebihnya dari SK Tanjung Puteri serta orang awam.

Mangsa diberi rawatan di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal ketika ditemui media selepas melawat mangsa di situ berkata kesemua mangsa mengalami simptom sama seperti dua buah sekolah yang diarah ditutup sebelum ini.

Pada pagi Selasa, lapan murid dari SK Tanjung Puteri Resort telah dihantar ke hospital Sultan Ismail (HSI) setelah mengalami simptom loya, muntah dan sesak nafas.

Sebelum ini, Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih telah diarah tutup semula selepas hanya lapan jam dibuka.

Ia susulan 20 murid yang dikesan mengalami sesak nafas dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada sisa kimia yang dibuang ke Sungai Kim Kim, kira-kira 500 meter dari sekolah itu.

Terdahulu, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian melahirkan rasa kesal dengan insiden pencemaran sungai itu yang menyebabkan beberapa sekolah ditutup.