Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukanlah sebuah kerajaan yang asyik mempromosikan segala usaha dan kejayaan yang dikecapi selepas mengambil alih pentadbiran pada Mei 2018.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hasil keamanan yang dikecapi rakyat serta ekonomi yang semakin baik adalah petunjuk kejayaan kerajaan pimpinannya dan ia perlu dihargai semua pihak.

“Kerajaan ini tidak pandai untuk mewar-warkan semua kejayaan yang telah dikecapi. Tetapi mesti ingat, negara ini sangat beruntung apabila perubahan kuasa berjalan dengan aman.

“Empat parti bergabung menjadi kerajaan Pakatan Harapan dan membentuk Kabinet yang boleh berfungsi serta membuat keputusan.

“Negara kita stabil, rakyat tidak bergaduh dan berbunuhan sesama sendiri. Tiada demonstrasi jutaan rakyat di atas jalan seperti di Tehran, Iran. Jadi jika rakyat merasakan ia tidak berada pada landasan betul, saya tidak tahu apa maksud mereka (Merdeka Center),” jelas Tun Mahathir dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) di Putrajaya pada Selasa.

Beliau menjawab soalan wartawan berkenaan dapatan firma kajian pendapat, Merdeka Center yang mendapati 61 peratus rakyat Malaysia merasakan negara ini tidak berada pada landasan yang betul.

Merujuk situasi di negara lain pula, berbanding Malaysia ujar Perdana Menteri, jelas ia membuktikan pencapaian yang perlu dibanggakan.

“Kalau kita lihat apa yang berlaku di Amerika Latin tidak stabil, kita lihat di Utara Amerika pula ada pemimpin seperti Trump yang menghantar dron untuk bunuh orang. Jika kita lihat di Britain, mereka menghadapi masalah Brexit, di Eropah pula mereka tidak bersatu begitu juga di Timur Tengah dimana mereka menghadapi masalah.

"Di Afrika, ada rakyat yang dibunuh, di Asia Tenggara pula umat Islam menghadapi diskriminasi. Di Timur Asia kita lihat Korea Utara menghadapi masalah dengan Jepun dan Korea Selatan." kata Mahathir.