Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, penangguhan solat Jumaat, solat lima waktu di masjid, surau di negeri itu untuk orang awam dilanjutkan sehingga 30 Jun.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, semakan semula penangguhan solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu untuk orang awam akan dibuat selepas minggu pertama Jun.

Menurut beliau, larangan mengerjakan solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid dan surau itu adalah satu keputusan yang amat sukar dan berat bagi baginda untuk memutuskannya.

"Baginda memahami keluh-kesah rakyat jelata yang tidak dapat menunaikan ibadat di masjid selama tempoh 12 minggu setakat ini. Namun, keputusan ini terpaksa dikeluarkan demi memastikan penularan jangkitan wabak berbahaya COVID-19 dapat dibendung dan dikawal.

"Sultan Selangor sentiasa memantau rapat data-data terkini penularan wabak COVID-19 termasuk kes-kes baharu jangkitan di Selangor yang menunjukkan aliran penurunan," katanya dalam kenyataan yang diedarkan pada Isnin.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menitahkan tempoh penangguhan solat Jumaat, solat secara berjemaah dan aktiviti ceramah dan kuliah di semua masjid, surau dan musolla di Selangor dilanjutkan sehingga 31 Mei.

Sultan Sharafuddin juga bertitah agar solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zohor dan hendaklah dilakukan di rumah masing-masing.

Sultan Sharafuddin sebelum ini turut berkenan untuk membenarkan solat Jumaat dan solat Aidilfitri diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (masjid negeri), Masjid Diraja dan Masjid Daerah pada pertengahan Mei.

Bagaimanapun hanya ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan imam saja yang dibenarkan iaitu seramai tiga hingga maksimum 12 orang.

Menurut Mohamad Munir, walaupun larangan dilanjutkan, sebagai melaksanakan tuntutan fardu kifayah, azan waktu solat akan tetap berkumandang.

Jelasnya lagi, program ceramah melalui media sosial juga tetap terus dijalankan.

"Sultan Selangor menitahkan agar rakyat terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan mematuhi setiap arahan dan garis panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak JAIS," kata Mohamad Munir.