Pemuda UMNO disifatkan seperti kanibal apabila mendesak Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berehat selepas didakwa atas beberapa salah laku dan penyelewangan baru-baru ini.

Pandangan itu disuarakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz selepas ketua sayap itu, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sekali lagi meminta Ahmad Zahid untuk berehat.

“Saya tak faham pemuda UMNO ini, apabila Presiden (Ahmad Zahid) kena dakwa dekat mahkamah, cepat sangat (bertindak), dah macam ‘kanibalisme’, makan sama sendiri.

“Walhal kalau kita tgk DAP ataupun Pakatan Rakyat dahulu, tak ada masalah pun,” katanya ketika ditemui media di Parlimen hari ini.

Beliau yang membandingkan UMNO dengan Pakatan Harapan berkata, ahli parti seperti PKR dan DAP lebih setia kepada pemimpin mereka.

“Macam Lim Guan Eng, masa dia menjadi Ketua Menteri dan Setiausaha Agung DAP, walaupun dia didakwa dan perbicaraan berjalan, ahli parti dia tidak suruh dia letak jawatan atau berehat.

“Begitu juga kita tengok apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika dia masuk penjara, dia masih ketua umum Pakatan Harapan. Inilah kesetiaan ahli-ahli parti pembangkang dahulu seperti DAP dan PKR.

“Apa jadi sekali pun kepada pemimpin mereka, mereka tetap setia,” tambah beliau.

Jelasnya, pendakwaan terhadap Ahmad Zahid berlaku tatkala beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam Kerajaan.

Justeru, beliau berpandangan bahawa Ahmad Zahid tidak perlu untuk berehat atau melepaskan jawatan tersebut.