Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran memuji tindakan orang awam yang menjalankan kempen yang mengajak rakyat Malaysia balik mengundi.

Perkara itu jelas Sivarraajh menunjukkan kesedaran demokrasi sudah wujud di Malaysia terutama sekali dalam kalangan orang muda.

Pengumuman hari pengundian pada hari Rabu kini bukan lagi halangan untuk rakyat Malaysia membuang undi kerana ia merupakan hari cuti kelepasan am tambahan, seperti diumumkan Pejabat Perdana Menteri semalam.

“Sekarang kita ada kempen Jom Mengundi, car pooling (kongsi kereta) dan sebagainya. Bagus, ini menunjukkan bahawa orang yang tidak berpaksi kepada mana-mana pihak sanggup datang depan untuk membuat kempen untuk membawa semua orang untuk mengundi.

“Saya rasa ini merupakan satu petanda yang baik bahawa kesedaran demokrasi sudah wujud dalam kalangan rakyat Malaysia dan orang-orang muda khususnya. Saya rasa kita harus jalankan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia. Hari Rabu tidak akan menjadi halangan kepada siapa-siapa," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau turut terus mengulangi keyakinan bahawa kerusi parlimen Cameron Highlands akan kekal menjadi milik MIC yang kini hanya menunggu pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sejak 2004, kerusi itu dimiliki oleh MIC dan kini disandang oleh bekas presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel, yang kini menjadi Ahli Parlimen Bebas selepas hilang keanggotaan MIC semasa krisis dalaman parti itu.