Wanita Indonesia, Siti Aisyah yang dituduh membunuh seorang warga Korea Utara dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan selepas pendakwa raya menggugurkan pendakwaan terhadapnya.

Hakim Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, memberitahu mahkamah pihak pendakwaan menerima arahan untuk menarik semula pertuduhan terhadap Siti Aisyah mengikut Seksyen 254(1) Kanun Acara Jenayah.

Azmi dalam penghakimannya berkata, dalam kes ini, pihak pendakwaan berhasrat untuk menarik balik pertuduhan terhadap Siti Aisyah.

Mangsa kemudian dikenali sebagai Kim Jong-Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un.

Portal berita AP melaporkan Siti Aisyah, 26 tahun hanya dimaklumkan mengenai berita itu pada pagi Isnin.

Sementara itu, perbicaraan warga Vietnam Doan Thi Huong turut ditangguh susulan perkembangan ini.

Kedua-dua wanita berkenaan dituduh meletakkan agen saraf VX ke muka lelaki yang menggunakan passport atas nama Kin Chol di KLIA2, Sepang pada 13 Februari 2017.

Kedua-dua wanita itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.