Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui stok simpanan oleh pembekal swasta vaksin influenza telah habis pada ketika ini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejumlah 99,470 dos lagi akan dibawa masuk pada bulan ini.

Dalam satu kenyataan media, Dr Noor Hisham menjelaskan perkara itu berlaku disebabkan peningkatan pola permintaan terhadap vaksin tersebut.

"Sehingga kini, terdapat enam produk vaksin influenza yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia. Jumlah keseluruhan kuantiti yang telah dibawa masuk untuk pasaran Malaysia sepanjang tahun 2019 bagi keenam-enam produk vaksin tersebut adalah sebanyak 638,388 dos.

"Daripada jumlah keseluruhan bekalan ini, hanya 10 peratus merupakan bekalan ke fasiliti kesihatan KKM. Pola permintaan terhadap vaksin influenza didapati telah meningkat secara mendadak pada akhir tahun 2019 dan awal tahun 2020.

"Pihak pembekal telah mengagihkan sejumlah 40,000 dos vaksin influenza ke hospital dan klinik swasta pada 7 Januari 2020, sehingga menyebabkan baki stok dalam simpanan pihak pembekal habis buat masa ini. Pihak KKM telah dimaklumkan bahawa sejumlah 99,470 dos lagi akan dibawa masuk pada bulan Januari 2020," ujarnya.

Sementara itu, berkenaan bekalan ubat antiviral yang digunakan untuk merawat pesakit yang dijangkiti virus influenza, Oseltamivir, Dr Noor Hisham berkata tiada masalah bekalan di fasiliti KKM walaupun permintaan meningkat empat kali ganda pada Disember 2019.

"Memandangkan terdapat permintaan yang mendadak di fasiliti kesihatan swasta, lima (5) pembekal sedia ada yang berdaftar tidak dapat menampung permintaan tersebut.

"Bagi mengatasi masalah ini, KKM telah memberikan kelulusan khas Ketua Pengarah Kesihatan untuk mendapatkan bekalan daripada pembekal alternatif.

"Setakat ini KKM telah meluluskan hampir 1.1 juta kapsul/tablet bagi tempoh Disember 2019 hingga Januari 2020 untuk memenuhi permintaan fasiliti kesihatan swasta. Kuantiti ini dianggarkan dapat merawat sejumlah 110,000 orang pesakit," katanya.

Justeru, beliau menegaskan KKM sentiasa komited dalam memastikan bekalan ubat-ubatan sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat Malaysia.

Terdahulu KKM telah mengeluarkan kenyataan berhubung peningkatan severe acute respiratory infection (SARI) yang kini masih berada dalam julat normal dan hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya.

Peningkatan Influenza like-illness (ILI) ini berlaku di beberapa lokasi sentinel di seluruh negara, terdapat sedikit peningkatan kes ILI dan SARI semenjak pertengahan bulan Disember 2019.