Bandar Malaysia, satu-satunya pembangunan bandar terbesar di rantau ini akan dimulakan selepas penyelesaian pembayaran sebanyak RM1.24 bilion oleh IWH-CREC Sdn Bhd kepada dibayar kepada TRX City Sdn Bhd (TRXC), anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Dalam satu kenyataan hari ini, IWH-CREC berkata jumlah yang dibayar adalah di bawah perjanjian penjualan saham dan perjanjian pemegang saham yang disemak semula yang merangkumi deposit 10 peratus dan pembayaran pendahuluan RM500 juta kepada TRXC.

Berdasarkan perjanjian tersebut, syarikat akan mengambil alih 60 peratus kepentingan di Bandar Malaysia Sdn Bhd, pemaju utama projek itu, daripada TRXC yang akan memegang baki 40 peratus.

IWH-CREC adalah usaha sama antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan syarikat milik kerajaan China, China Railway Engineering Corporation (CREC).

Kerajaan negeri Johor mempunyai kepentingan melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd, yang memiliki 37 peratus terhadap IWH.

IWH-CREC berkata pembangunan bersepadu bernilai RM140 bilion itu akan meliputi komponen bersepadu meliputi kewangan, teknologi, sains perubatan, pendidikan, pelancongan dan keusahawanan, serta menjadi bandar pintar.

Ia dirancang untuk menarik syarikat multinasional dan syarikat Fortune 500 dan 100 institusi kewangan terkemuka untuk memindahkan operasinya ke Malaysia.

Pada majlis yang berlangsung malam ini, IWH, yang diketuai oleh Naib Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Lim Kang Hoo dan Pengerusi CREC Malaysia, Chen Zhi Gong menyerahkan cek bernilai RM1.24 bilion kepada TRXC yang diwakili oleh Datuk Asri Hamidon.

Turut hadir Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Upacara itu juga menandakan penyelesaian secara rasmi tanggungjawab kontrak awal IWH-CREC kepada TRXC untuk memulakan kerja di Bandar Malaysia.

Bandar Malaysia akan menjadi rumah bagi Express Rail Link, KTM dan Mass Rapid Transit Line II dan III dan landasan kereta api ERL sedia ada yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan hab pengangkutan, Kuala Lumpur Sentral.

Mass Rapid Transit 2 telah menetapkan dua stesen di Bandar Malaysia yang akan siap menjelang 2021, serta Lebuhraya Setiawangsa-Pantai yang dahulunya dikenali sebagai DUKE 3 dijadualkan siap pada tahun 2021, ia dihubungkan dengan 12 lebuh raya lain ke bandaraya Kuala Lumpur yang akan diselaraskan dengan Bandar Malaysia.

"Pembangunan Bandar Malaysia ini akan mengambil tempoh masa kira-kira 20 tahun, ia akan membentuk hala tuju masa depan Kuala Lumpur dengan menawarkan kota gaya hidup baharu yang dapat diduduki dengan infrastruktur moden dan akan menjadi pembangunan ikonik di rantau ASEAN," kata IWH-CREC.

-- BERNAMA