Tindakan nekad seorang pemandu treler terjun dari kenderaan itu yang terbabas sebelum terbalik, menyelamatkannya dalam kejadian di Kilometer 33 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara, awal pagi Selasa.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi yang dipercayai berpunca daripada tayar treler pecah itu, lelaki berusia 25 tahun terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, muatan serbuk batu kapur yang dibawa lori berkenaan bertaburan di atas jalan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepasukan anggota segera dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Selepas memastikan tiada mangsa lain dalam kejadian itu, pasukan kita membuat semburan untuk membersihkan tumpahan serbuk batu kapur yang mempunyai bahan kimia yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain," katanya.