Seorang pemandu lori tangki warga Malaysia ditahan Polis Thailand selepas kenderaannya terlibat dengan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera parah.

Ketua Polis Sadao Kol Seksan Kaewsawang berkata, kejadian berlaku di Danok kira-kira 7 pagi Ahad (waktu tempatan) ketika lori tangki terbabit sedang membelok.

"Ketika pemandu itu sedang membelok lorinya di salah sebuah jalan raya, tiba-tiba kenderaannya dirempuh dengan kuat oleh motosikal dinaiki dua orang. Penunggang motosikal itu mati ditempat kejadian," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Mangsa dikenali sebagai Nai Pian Nunnoi, 49 meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badannya manakala rakannya yang mengalami kecederaan parah pula dikejarkan ke Hospital Sadao untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Seksan, warga Malaysia berusia 55 tahun itu kini ditahan di Balai Polis Sadao dan akan didakwa kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

-- BERNAMA