Jawatankuasa Khas COVID Selangor sudah menetapkan pemakaian pelitup muka di negeri itu sebagai mandatori khusus di tempat awam.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dua kes positif COVID-19 melibatkan penularan tempatan di daerah Gombak dan Hulu Langat Selangor, baru-baru ini menunjukkan virus COVID-19 masih wujud dalam komuniti.

"Kami di Selangor menetapkan pemakaian pelitup muka sebagai mandatori khusus di tempat awam, kecualilah di rumah sendiri atau dalam kereta.

"Ini menunjukkan virus ini masih dalam komuniti kita. Ia masih bersama kita. Saya harap tiada gelombang kedua, namun kes di Gombak dan Hulu Langat itu menunjukkan virus itu ada dalam komuniti kita," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.

Ujarnya, orang ramai perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama pemakaian pelitup muka dan tidak terlalu bersikap selesa dengan kembali ke norma kehidupan terdahulu.

"Semalam kami bermesyuarat, saya kembali untuk tegaskan, sekarang ini PKPP, atau adakah kita akan kembali kepada PKBB? Semua ini apabila kita saksikan betapa masyarakat kita sudah mula rileks, selesa dan mengambil norma seperti biasa dulu dan kembali seperti biasa. Ini yang menyebabkan kita sangat khuatir.

"Kita kena tahu, apabila kita pakai pelitup muka itu, kita bukan hanya menyelamatkan diri kita, tetapi kita juga menyelamatkan orang lain juga," ujar bekas Menteri Kesihatan itu.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap mereka yang positif COVID-19 tetapi tidak bergejala, namun impaknya adalah sangat besar.

"Saya tegaskan sekali lagi, yang tidak bergejala itu adalah lebih bahaya kerana dia menyangka dia sihat. Kita kena tahu bahawa viral load adalah maksimum sehari dua sebelum bergejala. Bayangkan sebelum bergejala itulah berlakunya jangkitan itu apabila kita batuk bersin dan sebagainya dan kita buat sentuhan-sentuhan, bersalaman dan sebagainya," tambahnya lagi.

Ujar beliau lagi, semua pihak perlu sentiasa peka dan prihatin antara satu sama lain bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dala komuniti.

"Jangan rileks, jangan ingat kita sudah kembali normal. Ini yang menjadi masalah kalau kepekaan dan keprihatinan itu (tiada). Contohnya, kalau ada tiga orang pakai pelitup muka, seorang tak pakai , jadi kita sangat cemas. Kalau dia batuk dan bersin, jadi ini semua menjadikan kita semua tak dapat menjaga satu sama lain," kata Dzulkefly.

Justeru katanya, Jawatankuasa Khas COVID Selangor akan terus memantau situasi COVID-19 serta pematuhan SOP di kalangan rakyat.

"Kita akan pastikan di masjid surau kami masih lagi mengamalkan pematuhan SOP dan ini penting untuk diamalkan dan perhatikan," kata beliau.