Peletakan jawatan semua ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) termasuk Pengarah Urusannya Tan Sri Azman Mokhtar merupakan perkara biasa di negara yang mengalami pertukaran kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Hermana Capital Berhad, Datuk Dr Nazri Khan berkata peletakan jawatan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Khazanah adalah untuk memudahkan transisi kerajaan baharu.

"Perubahan struktur kepimpin GLC seperti yang berlaku dalam Khazanah merupakan prerogatif kerajaan baharu yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya yakin ini merupakan permulaan kepada perubahan besar pimpinan atasa GLC namun saya rasa biarpun mereka (ahli lembaga pengarah Khazanah) yang meletak jawatan ini tidak bermakna mereka tidak diperlukan.

"Mungkin akan ada sedikit penstrukturan semula dalam Khazanah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelas beliau, perubahan pucuk pimpinan Khazanah ini sudah dijangka sejak Tun Dr Mahathir membuat kenyataan beliau ingin melihat misi baru syarikat berkaitan kerajaan itu.

Dr Nazri berkata peletakan semua ahli lembaga pengarah Khazanah awal hari ini tidak memberi kesan kepada syarikat-syarikat seperti CIMB, Telekom Malaysia dan Axiata di Bursa Malaysia.

Sembilan ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad, termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Eksekutif meletak jawatan bagi memastikan peralihan kepimpinan kepada kerajaan baharu dan hala tuju dana kekayaan kedaulatan itu terurus dan berjalan lancar.

Antara ahli lembaga pengarah lain terdiri daripada Datuk Seri Nazir Abd Razak, Datuk Dr Nirmala Menon, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datok Mohammed Azlan Hashim, Yeo Kar Peng, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Raja Tan Sri Arshad Raja Uda.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Khazanah melaporkan kesemua ahli lembaga pengarah berbangga diberi peluang menawarkan perhidmatan mereka dengan syarikat berkenaan.