DR MASZLEE Malik memulangkan jawatan Menteri Pendidikan yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuatkuasa mulai 3 Januari 2020.

Dr Maszlee meletakkan jawatan yang disandangnya selama 20 bulan secara mengejut pada hari kedua persekolahan tahun 2020.

Beliau yang menang di Parlimen Simpang Renggam, Johor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 mewakili parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah kepimpinanan Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Menteri Pendidikan.

Kementerian Pendidikan merupakan sebuah kementerian yang ditubuhkan pada tahun 1955 iaitu sebelum merdeka lagi.

Kementerian Pendidikan juga adalah salah satu kementerian paling penting dalam negara dan umumnya menteri untuk memimpin kementerian ini dilantik daripada pemimpin kanan parti yang membentuk kerajaan malah bakal menjadi pemimpin utama negara.

Pemimpin pertama yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan Malaya atau kemudianya Malaysia adalah Tun Abdul Razak. Beliau bertanggungjawab menggubal Penyata Razak pada tahun 1956 yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Seterusnya, Tun Hussein Onn malah Dr Mahathir juga pernah dilantik sebagai Menteri Pelajaran atau Pendidikan.

Rakyat terkejut

Rakyat secara amnya dan kumpulan warga pendidik secara khususnya yang baru sahaja menyambut Tahun Baharu 2020 terkejut dengan pengumuman Dr Maszlee meletak jawatan yang disandangnya selama dua tahun sejak PH menguasai Putrajaya.

Dalam tempoh 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan, beliau dilaporkan telah melaksanakan pelbagai tranformasi ke arah bukan sahaja menambah baik kualiti pendidikan malah mengurangkan amalan rasuah dalam Kementerian Pendidikan melalui penerapkan nilai-nilai good governance.



Kementerian Pendidikan yang diterajui Dr Maszlee dilaporkan sebagai kementerian yang pertama membentangkan rekod pencapaiannya.

Malah, Kementerian Pendidikan kepimpinan Dr Maszlee yang mempunyai slogan 'Pendidikan Untuk Semua' juga dilaporkan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif dan inovasi untuk menambah baik taraf pendidikan negara.

Menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia ( NUTP), antara usaha baik yang dilaksanakan Dr Maszlee adalah mengatasi isu-isu berkaitan beban kerja guru yang tidak relevan, kemelut pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan pendidikan bagi golongan kelainan upaya (OKU) termasuk kepimpinan beliau yang bertanggungjawab membuka 10,200 darjah meliputi hampir 24,998 golongan OKU.

Meskipun didakwa sering 'flip –flop' atau 'u-turn', beliau dilihat berani menghadapi isu-isu sensitif kaum yang bukan mudah untuk diurus malah dapat memenuhi hati semua pihak seperti isu Unified Examination Certificate (UEC), pembelajaran Jawi dan matrikulasi.

Di samping itu, beliau juga dilaporkan sangat mesra dengan warga pendididik, malah dengan NGO-NGO yang berkaitan dengan bidang pendidikan.

Dengan itu, pihak warga Kementerian Pendidikan serta sebahagian besar warga pendidik daripada jumlah 551,693 anggota (2017) dan persatuan yang mewakili warga pendidik dilaporkan merasa amat dukacita dengan pengumuman Dr Maszlee meletak jawatan secara mengejut.

Namun, kebelakangan ini kepimpinan Dr Maszlee didakwa banyak menimbulkan krisis kepada kepimpinan kerajaan PH yang bersangkutan dengan isu-isu seperti pengenalan tulisan jawi di sekolah vernakukar, peningkatan kemudahan internet sekolah dan sarapan percuma.

Walaupun Dr Maszlee dilihat berjaya menghasilkan banyak inovasi dalam meningkatkan taraf pendidikan negara malah menambah baik perkhidmatan pendidikan terutamanya menghapuskan amalan rasuah dalam Kementerian Pendidikan iaitu antara salah satu janji kerajaan PH kepada rakyat pada PRU ke-14, kejayaan yang dicapai olehnya malah kementerian didapati kurang dihebohkan atau disebarkan apatah lagi diterima oleh orang ramai di peringkat akar umbi yang umumnya menjadi asas kekuatan politik kepada kerajaan.

Di sebalik itu, beliau sering menjadi sasaran kritikan orang awam di atas perkara remeh- temeh. Malah, laporan yang membenamkan kejayaan Dr Maszlee dilihat tersebar luas dalam media sosial yang menimbukan persepsi negatif di kalangan rakyat terhadap kepimpinannya.

Ekoran daripada laporan media sosial yang kurang tepat dan jelas terhadap tujuan memperkenalkan pelajar-pelajar untuk menggunakan kasut hitam di sekolah, beliau sering dilabelkan sebagai menteri 'kasut hitam'.

Walaupun sebahagian besar pelajar-pelajar suka memakai kasut hitam berbanding kasut putih, Dr Maszlee tetap dikatakan kurang memahami cita rasa pelajar-pelajar.




Pelbagai andaian

Dalam pada itu, isu perletakan jawatan Dr Maszlee menimbulkan pelbagai tafsiran dan andaian. Perletakan jawatan Menteri Pendidikan dijangka membuka isu dalaman PH yang kini dilanda dengan pelbagai krisis politik yang menjadi bahan perbualan rakyat di seluruh negara mengaitkan pelbagai isu.

Antara pendapat dan andaian yang diutarakan malah menjadi perbualan rakyat adalah kononnya Dr Maszlee menjadi 'kambing hitam' atau mangsa dalam percaturan politik terbaharu bagi memenuhi agenda politik pihak-pihak tertentu dalam kerajaan PH.

Ada pula yang mendakwa Dr Maszlee ditentang kuat oleh parti politik tertentu dalam gabungan PH kerana beliau tidak mengalah kepada tekanan untuk menarik balik dasar memperkenalkan tulisan jawi di sekolah vernakular.

Ada pula yang berpendapat beliau kurang cekap mengendalikan isu pekerja kontrak yang menimbulkan masalah kepada pihak-pihak tertentu atau kontraktor yang mengendalikan kontrak pekerja sambilan di sekolah-sekolah.

Ada pula yang berpendapat bahawa Dr Maszlee didorong untuk meletak jawatan bukan semata-mata kerana tekanan daripada rakyat atas dasar-dasar beliau tetapi menjadi mangsa kepada permainan politik antara parti-parti komponan PH.

Meskipun Dr Maszlee merupakan seorang akedemia malah berkomited dalam membawa pembaharuan dan inovasi kepada Kementerian Pendidikan sejak dilantik sebagai Menteri Pendidikan iaitu kementerian yang digabungkan antara Kementerian Pelajaran dan Pendidikan Tinggi sebelumnya, beliau dilihat gagal untuk memberi fokus perhatiannya kepada hal-hal mengurus persepsi rakyat terhadap kepimpinannya.

Persepsi negatif di kalangan rakyat terhadap kepimpinan dan kebolehan Dr Maszlee didapati kurang diurus dengan baik dari awal lagi dan selaku akademia, bukan ahli politik dikatakan kurang mengambil peduli peranan media dan pembinaan imej.

Sehubungan itu, komuniti India, sama ada warga pendidik atau orang awam amat berpuas hati di atas inovasi dan transformasi yang dilaksanakan oleh beliau untuk menambah baik taraf pendidikan negara.

Namun, langkah drastik yang diambil oleh beliau untuk melaksanakan dasar pembelajaran tulisan khat atau jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menimbulkan reaksi bercampur-campur malah perasaan tidak puas hati di kalangan mereka.

Protes komuniti India bukan ditujukan kepada kepimpinan Dr Maszlee tetapi lebih kepada dasar kerajaan PH yang memaksa dan mewajibkan pembelajaran seni khat dan tulisan jawi di sekolah vernakular.

Malah, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran yang mewakili suara dan cita rasa sebahagian besar komuniti India berkata, MIC tidak membantah pembelajaran tulisan jawi sebaliknya berpendapat ianya perlu diberi kefahaman sewajarnya sebelum diperkenalkan.

Apapun, tidaklah keterlaluan sekiranya disimpulkan bahawa pencapaian cemerlang yang dihasilkan Dr Maszlee dalam menambah baik taraf pendidikan didapati mengalah kepada faktor kegagalannya mengurus persepsi rakyat dengan cekap dan pantas terhadap dasar-dasar pendidikan yang beliau sendiri laksanakan.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.