Dua kawasan yang menjadi hotspot denggi iaitu AU2, Keramat dan Seksyen 7, Shah Alam di Selangor dipilih untuk menjalani program Wolbachia bagi menangani denggi bermula 28 Mac.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dalam kenyataan pada Rabu berkata program tersebut merupakan kaedah baharu kawalan denggi yang sedang giat dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan cara melepaskan nyamuk Aedes berWolbachia bagi menggantikan nyamuk Aedes liar.

"Penduduk kawasan AU2, Keramat telah dimaklumkan seawal 26 Mac 2016 yang IMR berhasrat untuk membuat pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia semalam (28 Mac).

"Pejabat Kesihatan Daerah Gombak telah membuat semburan racun pada 26 Mac tahun lepas di kawasan tersebut bagi mengurangkan populasi nyamuk Aedes liar sedia ada.

"Pada 28 Mac, sebanyak kira-kira 50 ekor nyamuk Aedes berWolbachia jantan dan betina dilepaskan di setiap 300 tempat di kawasan AU2 Keramat. Secara keseluruhannya sejumlah 16,000 ekor nyamuk Aedes berWolbachia telah dilepaskan," katanya.

Menurut kenyataan itu, bagi kawasan Seksyen 7, Shah Alam aktiviti penglibatan penduduk setempat sedang giat dijalankan dan pelepasan nyamuk akan dilaksanakan selepas itu.

Beliau berkata pelepasan nyamuk tersebut yang dipantau pihak IMR akan berterusan setiap minggu sehingga hampir 60 peratus dari nyamuk Aedes di kawasan AU2 Keramat adalah nyamuk Aedes berWolbachia.

Katanya, kajian menunjukkan nyamuk Aedes berWolbachia tidak dapat menyebarkan virus denggi dan akan menyekat penularan virus denggi kepada manusia.

Kaedah Wolbachia merupakan kaedah baharu yang telah disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan telah diguna pakai di beberapa negara seperti Australia, China, Indonesia, Vietnam dan termasuk Singapura.

"Penerangan dan penglibatan awam mengenai kaedah ini amat penting. Penglibatan penduduk setempat telah dijalankan sejak pertengahan tahun lepas. Wakil-wakil penduduk dari kawasan tersebut telah melawat makmal Wolbachia di IMR untuk memahami dan melihat sendiri pembiakan nyamuk Aedes berWolbachia," katanya.

Orang ramai boleh mengakses maklumat tepat dan terkini mengenai kaedah Wolbachia di laman sesawang http://www.imr.gov.my/wolbachia.

-- BERNAMA