Projek kereta terbang yang didakwa inisiatif pihak swasta menerima suntikan dana daripada kerajaan sebanyak RM20 juta menerusi Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).

Kenyataan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyebut, syarikat di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), MIGHT meluluskan pelaburan itu dalam syarikat Aerodyne Ventures Sdn Bhd (AVSB).

“Walaupun Menteri Pembangunan Usahawan (Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof) menyatakan projek kereta terbang adalah insiatif swasta dan tidak gunakan dana kerajaan, PAC mendapati MIGHT meluluskan pelaburan dalam AVSB sebanyak RM20 juta.

“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengesahkan dana itu telah disalurkan oleh VTSB (VentureTech Sdn Bhd - subsidiari milik penuh MIGHT) kepada AVSB pada 1 November 2019,” jelas kenyataan itu.

BACA: Kereta terbang atau dron? Mana satu yang betul?

Laporan itu turut menyebut, Mohd Redzuan mengumumkan projek itu terlalu awal tanpa perancangan teliti serta tidak memaklumkannya kepada Kabinet, selain mendapati ia adalah projek swasta, bukan projek nasional seperti diuar-uarkannya.

“Mohd Redzuan juga mempromosikan AVSB secara terbuka sejak Februari lalu, sedangkan kerajaan belum melaksanakan pematuhan piawaian kewangan, hak milik intelek, kepakaran dan kapasiti membangunkan kereta terbang terhadap syarikat berkenaan.

“PAC turut mendapati AVSB pembangunkan prototaip di Jepun kerana negara itu memiliki ekosistem dan kemudahan membina kereta terbang, sedangkan Mohd Redzuan memaklumkan syarikat itu menggunakan teknologi tempatan.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta MIGHT juga tidak dirujuk langsung dalam menentukan hala tuju pembangunan mobiliti udara, dan tiada undang-undang sedia ada berkaitan kawal selia dan penggunaan kereta terbang di Malaysia,” jelas laporan berkenaan.

PAC dalam pada itu turut mengemukakan enam syor penambahbaikan.

Antaranya, meminta Jabatan Akauantan Negara (JAN) mengaudit pelaburan RM20 juta itu, selain menggesa VTSB memantau perbelanjaan dibuat AVSB bagi memastikan dana berkenaan digunakan bagi tujuan ia diluluskan, dan bukan untuk projek kereta terbang.

“Selain itu, sesuatu projek perlu dikaji dan dirancang secara teliti sebelum dihebahkan kepada umum bagi mengelak persepsi negatif dan kritikan masyarakat,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Usahawan juga dinasihatkan mewujudkan kerjasama dengan kementerian, jabatan dan agensi lain, serta membuat pematuhan piawaian yang lengkap sebelum membuat pengumuman dan keputusan.

“Kertas Kabinet yang lengkap dan sempurna perlu disedia dan dibentang dalam mesyuarat Kabinet untuk mendapat kelulusan bagi perkara membabitkan kepentingan rakyat dan negara,” ujar kenyataan itu.