Pelanjutan biasiswa kepada mahasiswa-mahasiswa Doktor Falsafah (PhD) tajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu menghasilkan lebih ramai rakyat Malaysia berkelulusan itu pada masa depan.

Koordinator WeMalaysia Amerika Syarikat (AS) Nasnoor Juzaily Mohd Nasiruddin berkata, pelanjutan tempoh pengajian dan biasiswa itu juga membuktikan kemampuan kerajaan bagi menanggung kos pengajian yang dijangka meningkat.

"Secara tidak langsung ia membuktikan pengurusan ekonomi negara di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuahkan hasil dalam memulihkan ekonomi negara kepada tahap yang lebih baik.

"WeMalaysia AS mewakili mahasiswa PhD di sini ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Malaysia kerana mendengar serta memahami kesulitan yang dihadapi para penuntut untuk menamatkan pengajian dalam tempoh asal yang ditetapkan sebelum ini.

"Kenyataan ini juga memberi kelegaan dan motivasi kepada mahasiswa untuk meneruskan tanggungjawab serta menamatkan pengajian dengan cemerlang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Pada 14 Disember lepas, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh mengeluarkan kenyataan yang memberi kelonggaran kepada mahasiswa PhD tajaan mereka untuk melanjutkan tempoh pengajian di AS sehingga satu tahun dan biasiswa sehingga enam bulan dari tempoh asal yang ditetapkan iaitu empat tahun.

Dalam pada itu katanya, ia juga kelegaan kepada penuntut berkenaan selain penghargaan kepada kerajaan dan KPT dalam mempertimbangkan pelanjutan biasiswa kepada pelajar-pelajar PhD Malaysia di AS.

Antara kelonggaran yang diberikan KPT di dalam kenyataan mereka sebelum ini kepada pelajar selain di AS adalah tempoh pengajian program PhD adalah selama 36 bulan bagi mahasiswa di IPT United Kingdom (UK).

Jelas kenyataan itu, pelanjutan untuk kali pertama dan kedua masing-masing bagi tempoh tiga bulan dengan biasiswa penuh juga boleh dipertimbangkan.

Selain itu kata kenyataan itu, sekiranya mahasiswa masih gagal menamatkan pengajian dalam tempoh tersebut, pelanjutan untuk kali ketiga dengan biasiswa separa penuh (bayaran yuran pengajian sahaja) boleh dipertimbangkan untuk tempoh selama tiga bulan lagi.

WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara.

Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di AS, Australia dan United Kingdom (UK).