Industri pelancongan perubatan di Malaysia dijangka dapat mencapai sasaran hasil sebanyak RM1.3 bilion tahun ini, kata Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sherene Azli, berkata industri itu mencatatkan pertumbuhan 30 peratus tahun ke tahun.

"Malaysia memiliki ekosistem dan prasarana untuk menyediakan sistem dan perkhidmatan penjagaan kesihatan menyeluruh berkualiti yang kompetitif di peringkat global," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen 'ShareMyLove', di sini, pada Isnin.

Kempen itu merupakan sebahagian daripada usaha MHTC mempromosikan hospitaliti Malaysia dan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaiknya, kata Sherene.

Beliau berkata, secara puratanya, sumbangan pelancong perubatan kepada ekonomi negara berganda daripada pelancong biasa.

"Secara purata, pesakit luar akan membelanjakan kira-kira RM1,000 setiap kali berkunjung, tidak termasuk perbelanjaan lain semasa berada di negara ini," katanya.

Hasil daripada pelancongan perubatan berjumlah RM1 bilion dalam tahun kewangan 2016.

Mengenai prospek masa depan, MHTC menganggarkan sejuta pelancong berkunjung ke Malaysia tahun ini, menyumbang sehingga RM5 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Tahun lepas, lebih 860,000 pelancong perubatan mendapatkan rawatan di negara ini.

Jumlah itu dijangka meningkat dengan lebih banyak hospital swasta mampu menampung lebih ramai pesakit luar.

Hospital swasta di seluruh negara ketika ini mempunyai kira-kira 15,000 katil.

Lima rawatan utama yang didapatkan oleh pelancong perubatan ialah kardiologi, onkologi, ortopedik, IVF (Persenyawaan In Vitro), pergigian dan kosmetik.

Kebanyakan pelancong datang dari rantau ASEAN, diikuti China dan India.

Sherene berkata Malaysia meraih anugerah 'Pelancongan Kesihatan dan Perubatan: Destinasi Terbaik' bagi dua tahun berturut-turut (2015 dan 2016) daripada International Medical Travel Journal.

MHTC ditubuhkan pada 2005 di bawah Kementerian Kesihatan untuk memantau inovasi perubatan dan hospitaliti negara.

Pertubuhan itu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia.

-- BERNAMA