Upacara pelancaran dan penamaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh seorang wanita merupakan upacara tradisi yang telah dilaksanakan sejak TLDM bermula sebagai Royal Navy, demikian menurut TLDM pada Selasa.

Dalam kenyataannya di sini, Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM berkata wanita yang terpilih atau 'Lady Sponsor' adalah dalam kalangan isteri orang kenamaan seperti isteri perdana menteri, menteri pertahanan dan kerabat diraja atau sultan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan bagi menjelaskan isu pelancaran dan penamaan kapal misi pesisir (LMS) pertama TLDM di Wuhan, China pada Isnin oleh Normah Alwi, isteri Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, TLDM berkata upacara itu juga telah disesuaikan dengan syariat Islam dan adat ketimuran Malaysia.

"Bagi kapal-kapal yang dinamakan bersempena nama negeri, isteri atau wanita yang berkaitan dengan negeri tersebut akan dipilih. Sebagai contoh, KD Kedah telah dinamakan oleh Datuk Seri Tengku Puteri Intan Safinaz, kerabat diraja Kedah.

"Bagi kapal-kapal yang dinamakan bersempena nama pahlawan, wanita kepada waris nama itu atau wanita kenamaan dari negeri tersebut akan dipilih. Sebagai contoh, kapal tempur pesisir (LCS) 1 iaitu Maharajalela telah dinamakan oleh Raja Permaisuri Perak (Tuanku Zara Salim)," demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi kapal-kapal selain nama negeri dan pahlawan, isteri kenamaan negara dipilih, sebagai contoh KD Tunku Abdul Rahman telah dinamakan oleh Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

"Pada 1995, KD Jebat telah dinamakan oleh Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad," kata kenyataan itu.

Justeru, upacara pelancaran dan penamaan kapal LMS pertama TLDM yang telah disempurnakan oleh Normah merupakan upacara tradisi yang diamalkan selama ini oleh TLDM dan gelaran 'Lady Sponsor' kepada isteri menteri pertahanan adalah perkara biasa yang dilaksanakan, jelas kenyataan itu.