Pelakon 'Keluarga Iskandar', Mohd Sobri Anuar Tarmizi antara yang terpaksa berdepan keadaan sukar apabila turut terperangkap dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan di bangunan Selangor Mansion, Jalan Masjid India, di sini.

Lebih malang lagi, dia turut mengalami gejala demam sejak Isnin dan sukar untuk mendapat bekalan makanan ketika ini.

"Saya ke sini semalam kerana ada tugasan sikit yang perlu dilaksanakan. Namun ketika hendak turun dan keluar dari bangunan ini pada waktu Subuhi saya dihalang keluar dari bangunan berkenaan kerana PKPD telahpun dilaksanakan.

"Saya terpaksa berkurung dalam bilik saya sehingga kini dan tidak dapat ke mana-mana. Lebih malang saya turut mengalami demam sejak malam tadi dan harap pasukan perubatan dapat datang segera untuk membolehkan saya diperiksa," katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI.

Tambah Mohd Sobri, keadaan bertambah sukar buatnya kerana tiada persediaan dilakukan lebih awal baik dari segi penyediaan makanan dan ubat.

"Ketika ini bekalan makanan memang tak ada langsung ataupun ubat-ubatan yang saya perlukan. Keadaan agak sukar ketika ini untuk saya jelaskan.

"Apapun saya faham kesibukan barisan hadapan negara untuk menyusun bantuan ketika ini dan Insya-Allah saya akan sabar menunggu. Saya harap ia boleh dipercepatkan.”

"Saya bertambah risau sebab demam saya dan harap saya dapat (pasukan perubatan) periksa segera," tambahnya lagi.