Enam pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mengharumkan nama negara pada 'World Scholars Cup (WSC) Tournament of Champions' yang berlangsung di Yale University, Amerika Syarikat.

Kejayaan mereka membawa pulang 14 pingat emas dan 30 perak di kejohanan WSC merupakan pencapaian terbaik sekolah berprestij itu di peringkat global setakat ini, lapor Bernama.

WSC merupakan pertandingan ko-akademik melibatkan kuiz individu dan berkumpulan, penulisan esei dan debat melibatkan enam bidang termasuk sains, sejarah, sastera dan seni.

Keenam-enam pelajar berusia 14 hingga 16 tahun itu disambut pengetua MCKK Anand Baharudin bersama 10 pelajar dan anggota keluarga masing-masing sejurus tiba dari Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Turut hadir di KLIA ialah Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Anand ketika ditemui berkata kejayaan yang dicapai ini menunjukkan kemampuan pelajar di peringkat global.

"Kejayaan ini membuktikan pelajar MCKK mampu bersaing di peringkat antarabangsa dalam pertandingan yang disertai pelajar dari 58 negara," katanya.

Wakil keenam-enam pelajar berkenaan, Muhammad Luqman Mohammad Nawar, 16, berkata antara faktor kejayaan mereka ialah motivasi diberikan guru pengiring ke kejohanan berkenaan, Sharifah Nor Azam Syed Zainal Khodki.

"Apabila kami hampir lemah semangat, guru sentiasa mengingatkan kami untuk tidak mengalah," katanya.

Selain Muhammad Lukman, lima lagi pelajar yang menyertai pertandingan itu ialah Muhammad Mikhail Taufiq, 14; Hilman Irfan Hilmi, 15; Muhammad Faiz Syafie Zubair, 16; Muhammad Alif Daniel Jafri Malin, 16, dan Ahmad Adam Mohamad Adan, 16.