Seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu (KUPSIS) yang memperoleh keputusan cemerlang 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 maut dalam satu kemalangan pada petang Khamis, selepas terdahulu mengambil keputusan peperiksaan itu di sekolahnya.

Muhammad Hakimie Ifwat Sabarudin, 18 tahun, terbabit dalam satu kemalangan berhampiran susur keluar Bandar Darulaman, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) kira kira jam 6.15 petang ketika dalam perjalanan menghantar salah seorang rakannya pulang ke rumah di Jitra.

Mangsa sebelum itu meluangkan masa bersama tiga rakannya, Aqil Amzar Mas'ad, Amzar Amran dan Qumail Saini Suhaimi, kesemuanya berusia 18 tahun, di Aman Central, Alor Setar sebaik sahaja selesai mengambil keputusan peperiksaan.

Menurut Aqil, yang memperolehi keputusan semua A dalam SPM 2018, keempat-empat mereka menghabiskan masa bermain permainan video dan makan bagi meraikan keputusan yang diperolehi.

Katanya, ketika kejadian, Muhammad Hakimie yang menunggang motosikal bersama Amzar tidak sempat mengelak apabila motosikal yang dinaiki Aqil dan Qumail, yang berada di hadapan, brek mengejut.

Susulan perlanggaran itu, Muhammad Hakimie telah terpelanting dan tidak sedarkan diri manakala Amzar menjerit kesakitan akibat kakinya patah.

"Saya naik motosikal dengan kawan yang selamat ini. Kami tekan brek untuk mengelak sebuah motosikal dinaiki seorang warga emas di hadapan kami. Mungkin mangsa di belakang tak perasan kami nak brek, jadi dia mungkin tak sempat brek dan terlanggar kami," kata Aqil.

Jenazah Muhammad Hakimie dibawa ke Unit Forensik Hospital Jitra bagi proses bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dibawa pulang bagi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Pekan Pendang.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan kejadian tersebut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.