Seorang pekerja buruh binaan maut selepas terperangkap di bawah runtuhan tanah di sebuah tapak pembinaan di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, kejadian berlaku pada 12.58 tengah hari, pada Isnin dan melibatkan lelaki warga asing berumur 35 tahun.

"Siasatan awal mendapati, mangsa sedang melakukan kerja pemasangan paip pembuangan air bawah tanah sebelum secara tiba-tiba tanah dinding yang berhampiran runtuh dalam bentuk ketulan besar lalu menimbus mangsa secara keseluruhannya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.

"Siasatan akan dilakukan secara terperinci untuk melihat segala aspek insiden berkenaan," jelasnya.