Pekerja warga Bangladesh yang kepalanya ditimpa sisa buangan bancuhan simen Sabtu lalu di tapak projek pembinaan pangsapuri di sini, disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pagi Selasa.

Menerusi kenyataan dari Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, kemalangan berlaku apabila pekerja warga Bangladesh berumur 39 tahun itu sedang bekerja di kawasan ‘chute’ yang terdapat di tapak projek tersebut.

"Semasa sedang bekerja, kepala mangsa telah ditimpa sisa buangan bancuhan simen yang dibuang bersebelahan ‘chute’ oleh pekerja yang sedang bekerja di tingkat tiga.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala telah dibawa ke Hospital Batu Gajah dan seterusnya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut.

"Mangsa disahkan meninggal dunia pagi tadi di Hospital Raja Permaisuri Bainun," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, siasatan awal JKKP Perak mendapati majikan gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja yang dijalankan.

Susulan itu JKKP Perak telah mengeluarkan sembilan notis larangan kepada pihak majikan dan aktiviti kerja diarahkan supaya dihentikan serta-merta sehingga notis dipatuhi, katanya.

Tambahnya, JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Sisa bancuhan buangan simen yang jatuh dari tingkat tiga bangunan. - Foto JKKP Perak

Terdahulu, pada 28 Disember satu kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 8.15 pagi di sebuah tapak projek pembinaan pangsapuri di Bandar Seri Iskandar.

Kemalangan itu menyebabkan seorang pekerja warga Bangladesh cedera parah di bahagian kepala akibat ditimpa sisa bancuhan buangan simen dari tingkat tiga bangunan.