Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu dimaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mempunyai kawalan ke atas dana SRC International dan oleh itu tidak boleh dipertanggungjawab di bawah undang-undang pecah amanah (CBT).

Peguambela utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dalam hujahan lisannya semasa perbicaraan jenayah SRC International membabitkan Najib, berkata mereka yang mempunyai kawalan ke atas wang syarikat itu adalah pengarah dan penandatangan akaun bank syarikat itu.

Justeru, Shafee mendakwa anak guamnya bukan salah seorang daripada mereka yang mempunyai kawalan ke atas SRC International.

Shafee memberitahu mahkamah dengan memetik Seksyen 409 Kanun Keseksaan, bahawa undang-undang CBT itu menyebut kesalahan dilakukan oleh seseorang yang diamanahkan dengan harta atau dengan apa-apa kekuasaan ke atas harta itu.

"Jadi dalam konteks kita berurusan dengan wang SRC, mereka yang mendapat kepercayaan dana SRC adalah pengarah yang menandatangani akaun syarikat tersebut,” katanya.

Menurut Shafee, Najib juga tidak mempunyai kuasa untuk melupuskan mana-mana aset SRC International ataupun mampu melakukan apa-apa mengenainya.

Shafee menggulung hujah pembelaan pada akhir kes pendakwaan, yang merangkumi sejumlah 58 hari perbicaraan SRC International.

Sebelum itu, Peguam bela Harvinderjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak membuat laporan polis pada pertengahan 2015 berhubung RM42 juta yang dikreditkan ke dalam akaun bank peribadinya kerana siasatan ke atas SRC International sudah dijalankan.

Ini adalah peringkat terakhir dalam perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebelum keputusan diibuat sama ada Najib akan dipanggil untuk membela dirinya.

Nazlan menetapkan 11 November ini untuk menyampaikan keputusannya.

Pihak pendakwa telah menutup kesnya pada 27 Ogos lalu selepas mengemukakan 57 saksi sepanjang 58 hari perbicaraan bermula 3 April lepas di Mahkamah Tinggi di sini.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan mengemukakan lebih 750 barang kes termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank milik Najib, dokumen pemindahan wang, minit mesyuarat dan Blackberry Messanger berhubung transaksi wang Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 untuk berdepan tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos, beliau didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yang sama dan kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Najib, 66, merupakan perdana menteri pertama negara yang dihadapkan ke mahkamah. Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015.