Kes perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sepatutnya masuk hari ke-35, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada Khamis terpaksa ditangguhkan selepas peguam bela beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dikuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan seorang ahli keluarga yang disyaki dijangkiti COVID-19.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguh kes tersebut ke satu tarikh yang belum diputuskan lagi.

Pun begitu, beliau mengarahkan pasukan pembelaan untuk menyerahkan surat pengesahan kemasukan adik ipar Muhammad Shafee di Hospital Sungai Buloh dan surat kuarantin yang dikeluarkan kepada peguam itu, selewat-lewatnya pagi esok.

Jika gagal menyerahkan kedua-dua dokumen itu, Collin Lawrence memberitahu, kes perbicaraan akan berlangsung seperti biasa.

Terdahulu, peguam Noor Farhah Mustaffa yang mewakili Muhammad Shafee memberitahu mahkamah, yang Muhammad Shafee dinasihatkan oleh pakar perubatan untuk melengkapkan kuarantin 14 hari di rumah selepas mempunyai kontak rapat dengan adik iparnya yang disyaki dijangkiti COVID-19, dalam satu manjlis kenduri di rumahnya di Bukit Tunku, di sini Sabtu lalu.

“Tan Sri (Muhammad Shafee) menerima panggilan daripada isterinya pukul 12 tengah hari tadi dan dimaklumkan perkara itu,” katanya.

Noor Farhah juga menambah yang kesemua 11 pekerja agensi kerajaan, tempat adik ipar peguam itu bekerja, termasuk individu yang telah disahkan positif wabak tersebut dikuarantin di Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, adik ipar Muhammad Shafee duduk bersebelahan dengan salah seorang pekerja agensi yang dikesan positif itu dan keputusan pengesahan dijangka keluar esok.

Dalam pada itu, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pendakwaan dalam kes 1MDB itu memberitahu, beliau sedar akan kepentingan keperluan untuk dikuarantin.

“Yang Arif saya juga akan menjalani ujian pengesahan (COVID-19) kali kedua esok selepas saya mempunyai kontak dengan salah seorang individu yang dipercayai dijangkiti wabak itu sebelum ini,” ujarnya.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB ) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur di antara 24 Feb 2011 dengan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.