Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menjelaskan, hanya 23 daripada kira-kira 4,500 siswazah perubatan yang diberi kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan UD41 sebelum ini.

Jelasnya, mereka terdiri daripada anak diplomat yang bekerja dan menetap di luar negara.

"Untuk kumpulan kecil ini, JPA telah memberi kelonggaran bahawa mereka boleh diambil sebagai pegawai kontrak untuk latihan dengan syarat lulus BM dan kalau nak masuk tetap mereka mesti ada kelulusan. Namun, gambaran beberapa hari ini seperti kita beri kelonggaran kepada semua orang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Menurut Subraniam, kebanyakan mereka menerima sistem pendidikan di luar negara.

"Dalam 4,500 siswazah yang telah dilantik dari Disember 2016 sampai sekarang, 23 orang sahaja terlibat dalam hal ini dan daripadanya 11 orang adalah anak muda orang Melayu, kerana bapa mereka kerja di luar.

"Itu tidak bererti mereka tidak boleh cakap Bahasa Malaysia tetapi ini sebab mereka ikut sistem pendidikan berbeza semasa di negara lain," tambanya lagi.

Beliau pada masa sama, kecewa kerana isu berkenaan yang sengaja digembar-gemburkan walaupun ia hanya melibatkan sekumpulan kecil individu.

Jelasnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memberi kelonggaran untuk mengambil mereka secara kontrak dengan syarat mereka wajib lulus BM semasa latihan itu.

Katanya lagi, lantikan pegawai perubatan secara kontrak telah dilakukan sejak Disember 2016.

Justeru, beliau menegaskan perkara berkenaan bukan satu isu baharu dan berharap sebarang konflik yang ditimbulkan akan dapat ditamatkan segera.