Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke-71 yang bakal membuka tirai 5 Disember depan bukan sesuatu yang getir kepada parti itu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Walaupun pengaruh negatif media sosial dan sentimen pengundi muda dilihat akan memonopoli isu pada PAU kali ini, beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari UMNO melihat kekuatan akar umbi dan kepimpinan UMNO ketika ini cukup kukuh mendepani PRU14.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berkata Parti Perikatan dan Barisan Nasional telah melalui 14 pilihan raya sebelum ini, sekaligus PRU14 bukanlah ancaman hingga menjadikan PAUke 71 sebagai platform yang getir kepada parti Melayu Islam itu.

"Saya tak nampak mengapa mereka (pengundi) akan berubah pada kali ini walaupun pada 2013 dan 2008 ada perubahan besar-besaran tetapi ketika dalam keadaan paling teruk pun, sehingga pengundi Cina rata-rata tidak mengundi (BN), kerajaan BN masih berdiri teguh.

"Menerusi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama pimpinan lain kita akan dapat memberi kita keyakinan baru dan semangat baru kepada rakyat Malaysia untuk memberi satu keputusan (PRU) yang lebih baik pada ketika ini," katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd. Manap menyifatkan tempoh getir yang dilalui UMNO ketika ini membuktikan keazaman parti itu untuk terus berkhidmat bukan kepada ahlinya sahaja tetapi kepada semua rakyat Malaysia.

"Dalam keadaan hari ini, rakyat melihat UMNO sebagai parti atau kuasa yang sepatutnya melindungi mereka dan bukan sahaja melindungi ahli UMNO.

"Saya percaya persidangan kali ini akan beri input dan cadangan baharu atau perkara-perkara yang kita rasakan adalah sebahagian daripada persiapan menjelang pilihan raya." ujarnya.

Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) akan berlangsung pada 5 hingga 9 Disember ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.