Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) diminta tidak memutarbelitkan isu Program Semaian Patriotisme Belia yang dicadangkan mereka berbanding Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, tindakan Patriot yang meragui Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam isu berkenaan juga seolah-olah mahu membangkit perasaan marah dan mengelirukan rakyat.

"Kita merasa pelik dengan kenyataan Patriot yang menganggap kenyataan Datuk Seri Hishammuddin sebagai tidak bertanggungjawab dan meragui kesetiaan Ahli Patriot.

"Adalah benar bahawa usaha dan pandangan Ahli Patriot itu bertentangan dengan hasrat kerajaan.

"Sebenarnya tidak timbul soal mempertikai semangat patriotisme atau kesetiaan kepada negara cuma Presiden Patriot ini perlu tahu bahawa PLKN merupakan usaha kolektif 10 kementerian dan agensi kerajaan dalam penghasilannya," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Healthy Malaysians below 35 may join PLKN 2.0

BACA: 5,000 pelatih daftar PLKN setakat ini - JLKN

Bastien mengulas kenyataan Anggota Patriot, Mejar (B) Ismail Jr Feisol di dalam sebuah portal yang mengatakan kem PLKN dikendalikan 'seperti kem percutian' oleh jurulatih yang turut dipersoalkan semangat cintakan negaranya.

Selain itu, Presiden Patriot, Brig Jen (B) Mohamed Arshad Raji juga mahu menganjurkan bengkel untuk belia dan berikrar akan melakukan kerja yang lebih baik dalam menyemai semangat penyatuan dan cintakan negara (patriotisme) berbanding PLKN.

Mengulas lanjut, jelas Bastien, selain Kementerian Pertahanan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Belia dan Sukan, 1M4U dan lain-lain juga bekerjasama dalam program PLKN.

"Takkanlah mereka ini kurang patriotiknya berbanding ahli Patriot? Merekalah anggota dan kakitangan kerajaan hari ini yang bertungkus lumus menyediakan perancangan yang menyeluruh dari semua aspek.

"Saya juga merasa janggal apabila Patriot berpandangan bahawa program latihan PLKN ini lebih menyerupai kem percutian.

"Tidakkah mereka tahu bahawa persiapan dan keselesaan itu mendapat perhatian yang teliti semasa perbincangan pelaksanaannya. Ini bertujuan untuk memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk melepaskan anak-anak mereka yang terpilih agar turut serta dan tiada wujudnya kebimbangan tentang aspek keselesaan dan keselamatan.

"Ini menunjukkan betapa kerajaan mengambil berat tentang pelajar-pelajar yang satu hari nanti akan menjadi masa depan kepada negara semasa kehadiran mereka di kem-kem latihan," ujarnya.

Apa yang lebih penting tegas Bastien, matlamat dan tujuan penubuhan PLKN ini dapat dicapai sepanjang tempoh latihan diadakan.

"Sementara tujuan utama bengkel Patriot adalah untuk menyemai semangat patriotisme, penyatuan dan kepimpinan kepada belia - bukankah ini semua merupakan perkara-perkata yang sudah menjadi asas kepada penubuhan PLKN?

"Malah PLKN akan melengkapkan pelajar-pelajar ini dengan beberapa kebolehan asas vokasional yang membolehkan mereka menjadi lebih praktikal dan tidak kaku dalam kehidupan seharian di masa hadapan.

"Selain itu aspek asas teknologi maklumat juga menjadi penerapan penting sepanjang keberadaan mereka di kem-kem latihan.

"Maka perlulah Patriot mendapatkan maklumat terkini tentang PLKN sebelum memulakan 'bengkel' mereka agar cadangan-cadangan mereka nanti tidak nampak sumbang dan terkebelakang," katanya.

Sebelum in, Datuk Seri Hishammuddin mempersoalkan motif Patriot mengkritik PLKN dan bertanya mengapa baru sekarang mereka timbulkan isu ini selepas kerajaan memberi ruang kepada semua pihak menyuarakan cadangan sebelum ini.

Beliau berkata Patriot bersikap dwistandard kerana tidak memberikan apa-apa cadangan sebelum ini, dan percaya mereka cuba mempengaruhi pemikiran anggota tentera supaya melawan kerajaan.