Juruhebah dan selebriti veteran Patrick Teoh Kang Yong, 73, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan membuat kenyataan jelik di akaun Facebook terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 8 Mei lalu.

Tertuduh membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, dia yang juga seorang juruhebah sebuah stesen radio, dituduh memuat naik kenyataan dengan niat menyakitkan hati.

Pertuduhan mengikut Subseksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 233(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya selain denda RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Hakim menetapkan 20 Julai bagi serahan dokumen dan RM10,000 sebagai jaminan dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan Mohd Syafiq Ghazali manakala tertuduh diwakili Wong Hong Yi dan M. Puravalen.