Warga asing masih lagi bertindak berani menjadikan lokasi tersorok di pinggir bandar sebagai kawasan penempatan haram.

Beberapa kawasan tersorok di Desa Park City, di sini antara lokasi yang menjadi mangsa pencerobohan dan dijadikan penempatan haram warga asing terutamanya pendatang asing tanpa izin (PATI).

Hasil risikan dan maklumat, Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapati lebih 30 buah rumah dibina secara haram sejak enam bulan lalu.

Pengarahnya, Hamidi Adam berkata, pihaknya menangkap 45 warga asing kerana tidak memiliki dokumen yang sah.

Ini termasuk bayi dan kanak kanak, berusia dua minggu dan enam tahun.

Semakan mendapati kesemua mereka dilahirkan di Malaysia.

“Kawasan ini mungkin dianggap strategik kerana lokasinya tersorok dan sukar dimasuki,” katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Kuala Lumpur di Jalan Duta untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen.

Operasi membabitkan lebih 100 anggota penguatkuasa membabitkan Jabatan Imigresen, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.