Kerajaan Persekutuan akan memastikan mangsa banjir diberikan bantuan terbaik yang diibaratkan 'layanan diraja' ketika berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata pihak berkuasa telah membuat persediaan secukupnya dalam menghadapi bencana itu bagi memastikan mangsa banjir yang berlindung di PPS mendapat keistimewaan dan keselesaan berserta kemudahan-kemudahan tertentu.

"Makanan segar juga akan disediakan kepada mangsa-mangsa banjir yang tinggal di pusat pemindahan dan pelbagai kemudahan lain turut disediakan agar mereka dapat duduk dengan selesa.

"Dengan kerjasama semua pihak khususnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kita harap segala kelengkapan dapat disediakan dengan sempurna kepada mangsa," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati di sini, pada Selasa.

Turut serta melawat ialah Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad dan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kelantan Zainuddin Hussin.

PPS tersebut menempatkan seramai 185 mangsa daripada 78 keluarga.

Menurut Shahidan proses pemindahan mangsa banjir kini berjalan lancar dengan bantuan penggunaan pelbagai aset pasukan keselamatan.

Beliau juga meminta supaya penduduk yang tinggal berhampiran sungai agar segera berpindah jika paras air mula meningkat bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

Katanya beliau mengalu-alukan bantuan daripada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mangsa banjir.

Sementara itu, banjir dilaporkan kian buruk di Terengganu dan Kelantan dengan menyaksikan jumlah mangsa di kedua-dua negeri itu yang dipindahkan ke PPS meningkat petang semalam berbanding sebelah paginya.

Setakat 4 petang semalam, di Terengganu sejumlah 4,781 orang ditempatkan di 41 PPS manakala di Kelantan seramai 3,033 orang ditempatkan di 52 PPS.

-- BERNAMA