Kementerian Pertanian dan lndustri Asas Tani mewujudkan pasar perikanan dalam usaha membantu nelayan, penternak akuakultur dan pengusaha industri asas tani memasarkan hasil perikanan secara terus kepada pembeli.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pasar perikanan pertama yang diwujudkan di Dataran Perikanan, Pantai Teluk Mak Nik itu mampu mengurangkan peranan orang tengah dan membolehkan pembeli menikmati hasil perikanan pada harga lebih rendah.

"Pasar Perikanan ini adalah hasil projek perintis yang telah dilaksanakan Jabatan Perikanan sebanyak dua kali iaitu pada Februari dan Mac lalu. Ia mendapat permintaan menggalakkan daripada penduduk setempat dan telah memperoleh nilai jualan hampir RM15,000.

"Komuniti nelayan boleh menjadikan pasar ini sebagai platform untuk menjalankan aktiviti jualan terus yang mana sekarang ini pendaratan ikan di Zon A berjumlah 2,909 tan metrik daripada 441 buah vesel," katanya selepas merasmikan Dataran Perikanan, Pantai Teluk Mak Nik pada Sabtu.

Beliau berkata inisiatif itu akan diperluaskan di seluruh negara dalam usaha menjadikan pasar itu sebagai tempat yang menawarkan harga paling rendah kepada pembeli.

-- BERNAMA