Seorang penyokong kerajaan mencadangkan supaya institusi Parlimen dijadikan sebagai sebuah suruhanjaya.

Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar berkata cadangan mewujudkan Suruhanjaya Parlimen tersebut adalah bagi menjadikan institusi perundangan tertinggi dalam negara itu berupaya berfungsi sebagai sebuah kuasa yang disegani dan bebas daripada kuasa eksekutif.

"Punca kuasa Parlimen harus berdiri sebagai independent (bebas) supaya tidak dilihat sebagai salah sebuah cabang yang masih bernaung di bawah pihak eksekutif sementara dana datang daripada Kementerian Kewangan semata-mata.

"Kita mahu Parlimen mempunyai jawatankuasa-jawatankuasa tersendiri yang mempunyai punca kuasa dan juga punca dana yang tersendiri," katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Laporan tersebut dibentangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Khamis lepas.

Nurul Izzah berkata cadangan tersebut juga seiring dengan hasrat Dr Mahathir untuk melaksanakan reformasi institusi Parlimen.

BACA: Enam jawatankuasa bakal dibentuk di bawah Parlimen

BACA: Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dikembalikan, pertingkat kuasa autonomi Parlimen

Pada pembentangan tersebut, Dr Mahathir juga berkata Akta Perkhidmatan 1963 akan dikembalikan dalam usaha meningkatkan autonomi Parlimen.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika membahaskan usul tersebut berkata Parlimen mesti ada kebebasan sendiri untuk mentadbir urus isu dalamannya.

Menyokong reformasi Parlimen, beliau berharap transformasi Parlimen dilaksanakan sebaik mungkin bagi memantapkan perjalanan institusi itu.

BACA: Selepas angkat sumpah, Anwar rencana reformasi Parlimen

BACA: Reformasi Parlimen: Anwar bakal galas tanggungjawab berat


"Saya harap tidak ada beza dalam Parlimen, yang berbeza speaker, perdana menteri sebagai ketua dewan, timbalan perdana menteri dan ketua pembangkang. Hanya mereka ini yang ada perbezaan. Yang lain (anggota parlimen) sama ada menteri atau tidak, mereka hanya punyai kuasa untuk bawa usul," katanya.

Wan Junaidi turut menyentuh isu larangan merokok di bangunan Parlimen oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berkuat kuasa 15 Okt lepas dengan mengatakan tindakan KKM itu mempunyai tujuan baik namun tidak menggunakan cara yang betul bagi pelaksanaan larangan.

"Niat baik tapi salah cara, minta (kebenaran) dengan speaker dahulu, kalau speaker kata ya, baru boleh buat. Speaker juga kena berbincang dengan semua pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan," katanya.

Media, selepas isu larangan itu dibangkitkan, melaporkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, antaranya bagi membincangkan isu larangan merokok di kawasan bangunan Parlimen.

BACA: KKM tidak akan tarik semula larangan merokok dalam Parlimen - Dzulkefly

BACA: Ahli parlimen antara yang dikenakan notis kesalahan merokok


Dr Dzulkefly berkata, hasil pertemuan itu, mesyuarat turut bersetuju menyediakan ruang merokok alternatif sementara di luar bangunan Parlimen sehingga satu ruang merokok tetap disediakan di luar bangunan Parlimen.

-- BERNAMA