Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris akan membuat laporan balas terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung insiden di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.

Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo mendakwa Syed Saddiq telah berbohong dalam laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Sungai Way, pada Sabtu.

"Saya tak tahu berapa lama polis akan reman saya tetapi saya akan buat laporan balas sebab Syed Saddiq telah menipu dalam laporan polis yang dibuatnya semalam (Sabtu).

"Video itu pun dah viral dan semua orang boleh lihat saya tidak bertindak kasar kepadanya, polis pun ada di situ," katanya kepada Astro AWANI.

Sebelum itu, Wan Muhammad Azri ditahan di rumahnya di Danau Kota sekitar jam 3 petang Ahad oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan Syed Saddiq.

Pagi Ahad Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, memberitahu bahawa Papagomo adalah antara dua individu yang sudah dipanggil bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes serangan ke atas Syed Saddiq.

Bagaimanapun seorang lagi individu yang dipercayai adalah Ketua Pemuda sebuah parti politik, dilaporkan sudah tampil memberikan keterangan kepada pihak polis semalam.

Siasatan oleh Polis Daerah Kajang dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas selepas anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kajang mendakwa dikasari dan dipukul dari arah belakang.

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan dan merusuh, selepas Syed Saddiq mendakwa diserang sekumpulan penyokong parti politik.

BACA: Syed Saddiq buat laporan polis, dakwa 'dicekak' Papagomo