Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papa Gomo telah ditahan polis semula selepas dibebaskan pada Sabtu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata pihaknya telah menerima empat laporan berhubung penularan berita dalam media ekoran kejadian di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25 Subang Jaya tempoh hari.

Menurutnya, tangkapan dibuat Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada jam 1 petang, lapor Sinar Harian.

"Keempat-empat kes telah dibuka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan 1948.

"Polis mengambil kesempatan ini untuk mengulangi kenyataan bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang mempunyai tujuan dan niat jahat yang cuba memecahkan perpaduan rakyat yang berbilang bangsa di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, laporan polis akan dibuat dan seterusnya siasatan lanjut akan dijalankan ke atas mereka yang terlibat.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pemuda UMNO itu ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan video yang menaikkan sentimen perkauman dan dimuat naik dalam laman sosial.

Kata Mohamad Fuzi, polis bukan sahaja ambil tindakan kepada Papa Gomo tetapi kepada semua yang terlibat terutama yang menggunakan media sosial untuk menimbulkan keresahan kepada masyarakat.