Panik apabila dituduh terlibat dalam kes pengubahan wang haram seorang wanita terpaksa menanggung kerugian apabila wang simpanannya RM59,500 lesap akibat diperdaya anggota sindiket Macau Scam, semalam.

Mangsa berusia 57 tahun itu mula diperdaya selepas menerima panggilan daripada seorang wanita kononnya wakil daripada sebuah syarikat perbankan yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi sebanyak RM50,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menafikan perkara tersebut, bagaimanapun talian mangsa disambungkan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai polis.

Menurutnya, suspek itu memaklumkan bahawa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan sekali lagi mangsa menafikannya.

"Saya difahamkan panggilan mangsa disambungkan kepada seorang lagi lelaki, kononnya pegawai polis, yang meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bagi memastikan wang simpanannya selamat.

"Mangsa juga diminta menukar kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mengemas kini telefon dalam akaun tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, mangsa mengikuti semua arahan daripada suspek kerana bimbang dirinya akan dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, pada Jumaat, mangsa membuat semakan dalam akaun bank miliknya dan mendapati baki terkini hanya tinggal RM100.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis selepas merasakan dirinya telah ditipu pada petang semalam," katanya.

Kes disiasat mengikuti Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.