Kerajaan memberi jaminan untuk memastikan kebajikan kakitangan rakan pelaksana projek (PDP) bagi projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak terjaga sepertimana termaktub dalam Akta Kerja 1955.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata Kerajaan Persekutuan secara rasmi telah mengeluarkan surat penamatan kepada Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) pada 20 Sept lalu, namun akan memastikan projek lebuh raya sepanjang 786.41 kilometer di sebelah Sarawak akan diteruskan.

"Penamatan terhadap PDP itu melibatkan penjimatan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.25 bilion. Ia selaras dengan usaha kerajaan mengoptimum kos projek-projek.

"Namun kerajaan akan pastikan kebajikan mereka terjaga," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi kementerian di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Seramai 32 ahli Parlimen mengambil bahagian ketika sesi perbahasan selama tiga jam itu.

Dilaporkan, kontrak PDP bagi melaksanakan kerja pembinaan laluan Pan Borneo Sabah yang bernilai RM29 billion telah ditamatkan pada September, namun alasan penamatan kontrak itu tidak dijelaskan.

Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo itu kini diambil alih Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah dan Sarawak dengan mengguna pakai kepakaran teknikal sedia ada.

Dilancarkan pada Mac 2015, projek multibilion disifatkan sebagai projek pembangunan infrastruktur terbesar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan di Sarawak dalam tempoh 54 tahun. Lebuh raya bebas tol itu akan menjadi laluan utama menghubungkan Sabah dan Sarawak.

Mengenai langkah kementerian mengekang masalah kesesakan teruk di Plaza Tol Gombak setiap kali musim perayaan, Baru berkata beliau dimaklumkan bahawa pihak konsesi telah membuka bilangan maksimum plaza tol iaitu sebanyak 12 lorong, menambah jumlah kakitangan operasi, menutup operasi tambah nilai dan menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan kepada pengguna lebuh raya.

Langkah itu dijangka dapat menyelesaikan masalah kesesakan di Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur yang menjadi laluan utama menghubungkan Pantai Barat ke Pantai Timur yang sering dilanda kesesakan teruk terutamanya menjelang musim perayaan.

"Bagaimanapun, kerajaan tidak berhasrat memansuh kutipan tol kerana ia melibatkan kos urusan yang tinggi," katanya.

Baru dalam masa sama menyifatkan bahawa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan jalan penyelesaian mengatasi masalah kesesakan jalan raya di pantai timur.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung hari ini.

-- BERNAMA