Mayat seorang jurusolek ditemui dengan kesan darah di leher kiri dan kanan di rumahnya di Guchil Enam,kira-kira jam 10 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai,Superintendan Abdullah Roning berkata, mayat Rudy Alpian Zahari,37 tahun,ditemui terbaring di atas katil sebuah rumah yang didiami bersama rakannya.

"Kematian mangsa yang juga juru solek hanya disedari rakan serumahnya setelah majikannya datang untuk mengajaknya ke sebuah sekolah untuk membuat gubahan bunga.

"Apabila rakan serumah mengejutkannya,lelaki itu tidak bangun,lalu dia memeriksa nadi dan mendapati badannya telah sejuk," katanya.

Abdullah berkata, rakannya kemudiannya memanggil majikan mangsa untuk memeriksa nadinya sekali lagi.

“Sementara itu, temubual dengan majikannya mendapati mangsa mengambil sejenis produk kecantikan dalam bentuk kapsul untuk melangsingkan badan sebagai persiapan menyertai pertandingan ratu cantik di Thailand pada bulan Februari depan.

"Mangsa juga dipercayai telah makan pil tersebut sebanyak tujuh botol dan hanya makan nasi seminggu sekali serta seringkali mengadu penat dan sakit di bahagian dada sejak mengamalkan produk jamu berkenaan," katanya.

Abdullah berkata, hasil pemeriksaan dalam bilik mendapati terdapat kesan darah pada bantal di bawah kepala mangsa.

"Bilik tersebut dalam keadaan kemas tanpa sebarang kesan geledah,telefon bimbit serta beg tangan berada bersama mangsa.

"Hasil pemeriksaan di bilik juga tidak menjumpai tali atau senjata ,polis bertindak merampas bantal dengan kesan darah serta telah di rampas dan di bawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini polis tidak menemui sebarang unsur jenayah berhubung kematian mangsa.

"Bagaimanapun, kita menunggu keputusan bedah siasat ke atas mayat mangsa yang telah di hantar ke Hospital Kuala Krai," katanya.