Kerajaan Pahang meluluskan kawasan seluas 127.893 hektar di Sungai Yu di daerah Lipis sebagai hutan simpanan kekal (HSK) demi melindungi hidupan liar termasuk harimau Malaya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pihaknya juga bersetuju menutup jalan lama Sungai Yu sepanjang 5.2 kilometer di situ serta merizabkan tanah kerajaan seluas 2.05 hektar sebagai pusat pembangunan, penyelidikan dan pusat sehenti 'Central Forest Spine (CFS)' negeri Pahang.

Beliau berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang dipengerusikan olehnya di Wisma Sri Pahang, di sini, pada Rabu.

"Mengenai penutupan jalan lama Sungai Yu, ia wajar kerana jalan ini sudah jarang digunakan penduduk kampung berkenaan berikutan siapnya 'Central Spine Road' di kawasan itu.

"Penutupan ini juga wajar berdasarkan cadangan oleh Perikatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT) yang memaklumkan bahawa terdapat laporan menyatakan pemburu haram, penceroboh tanah dan pembalak haram menggunakan Jalan Lama Sungai Yu untuk menjalankan aktiviti-aktiviti mereka," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya, dengan penutupan jalan lama Sungai Yu itu dapat menghindarkan kemasukan secara mudah oleh pemburu haram, penceroboh hutan dan pembalak haram ke kawasan hutan bersebelahan.

"Keputusan ini membuktikan komitmen tinggi kerajaan negeri bagi menjayakan Pelan Induk CFS yang dihasilkan menurut keperluan harimau belang yang memerlukan landskap hutan yang luas dan bersambung, terutamanya di Pahang," katanya.

Menurutnya, mengenai keputusan merizabkan tanah kerajaan seluas kira-kira 2.05 hektar, ia membabitkan Taman Rekreasi Sungai Yu sedia ada.

"Keputusan ini dibuat memandangkan kemudahan asas yang terdapat di Taman Rekreasi Sungai Yu sudah uzur selain tahap kebersihannya kurang memuaskan akibat daripada peningkatan jumlah pelawat pada hujung minggu dan musim cuti sekolah," katanya.