Seramai 1,018 pekebun sayur di Cameron Highlands yang sebelum ini beroperasi di tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (LPS) ditawarkan meneruskan operasi mereka menerusi sewaan berdaftar.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata tanah yang terlibat adalah sebahagian daripada tanah seluas 5,526.219 hektar di tiga mukim iaitu di Ulu Telom, Ringlet dan Tanah Rata yang sebelum ini telah diusahakan pekebun berkenaan.

"Surat tawaran akan dikeluarkan secara berperingkat mulai hari ini dengan seorang penyewa ditawarkan maksimum keluasan tanah seluas tiga ekar (kira-kira 1.2 hektar) untuk tempoh tiga tahun tertakluk kepada beberapa syarat.

"Antara syarat itu adalah mewajibkan persijilan Amalan Pertanian Baik (MyGap) bagi penyambungan tempoh sewaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Daerah Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut pada Rabu.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengarah Tanah dan Galian Pahang Datuk Nazri Abu Bakar.

Wan Rosdy berkata tanah seluas 5,526.219 hektar itu dipecahkan kepada 78 blok dengan 58 blok di Ulu Telom, Ringlet (14 blok) dan Tanah Rata (enam blok) dan peluang kepada pekebun yang tidak pernah mengusahakan kebun di situ untuk menyewa blok yang masih belum disewakan.

Sewaan itu, menurut Wan Rosdy dilaksanakan dengan melakukan pemberimilikan tanah terbabit kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) yang seterusnya dipajakkan kepada Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH).

"PKCH pula akan memajak kecil keseluruhan tanah itu kepada Pahang Corporation Sdn Bhd (PCSB) selaku pengurus hartanah yang seterusnya menyewakannya kepada pekebun sayur yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Penyelesaian Tanah Daerah (JKPTD) Cameron Highlands," katanya.

Tempoh sewaan baharu selama tiga tahun itu, menurut Wan Rosdy juga lebih lama berbanding kaedah LPS sebelum ini selama setahun walaupun berlaku peningkatan kadar bayaran.

Wan Rosdy berkata langkah menawarkan sewaan kepada pekebun di kawasan berkenaan memberikan banyak kebaikan seperti memberi keseimbangan antara aktiviti pertanian dan kelestarian alam.

"Dengan mensyaratkan pekebun amalkan MyGap untuk pembaharuan sewaan, secara tidak langsung akan menjamin sumber makanan yang bersih dan kelestarian alam sekitar juga terpelihara," katanya.

-- BERNAMA