Tindakan seorang lelaki yang dipercayai mencuri sebuah kereta jenis Naza Kia Forte berakhir dengan kematian apabila kereta yang dipandunya itu terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuchai Maju 4, Jalan Kuchai Lama di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, kenderaan yang dipandu lelaki terbabit telah terbabas merempuh sebuah gerai sebelum melanggar tiang jejantas dan menyebabkannya parah di kepala sebelum meninggal dunia.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, lelaki itu dikatakan terbabas sendiri lalu merempuh gerai yang terletak di bahu kiri jalan sebelum melanggar tiang jejantas.

“Akibat kemalangan itu, lelaki tersebut mengalami cedera parah pada kepala dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kereta tersebut dilaporkan hilang pada pukul 7.40 pagi di tempat letak kenderaan di Vista Harmony, Taman Bukit Cheras sebelum insiden tersebut.

Katanya, kereta tersebut telah dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut dan kes kecurian itu disiasat oleh pegawai bahagian jenayah.

“Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, pemilik gerai yang dikenali sebagai Sariah Yakin, 58, berkata dia mengetahui kejadian itu daripada penduduk sekitar.

“Kedai telah rosak kira-kira 90 peratus dan kini sedang dibaiki oleh anak saya,” katanya.