Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil semula bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkenaan urus tadbir syarikat itu.

Ahli PAC, William Leong Jee Keen berkata PAC juga akan memanggil beberapa individu lain iaitu Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, juga bekas pengerusi PAC Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

"Kita telah meminta Pengerusi (Datuk Hasan Arifin) untuk memanggil lagi mereka yang bertanggungjawab pada waktu hutang-hutang itu dilakukan.

"Kita akan menyambung lagi memanggil beberapa saksi terutamanya pengurus, pengarah dan juga pengerusi pada waktu hutang itu dilakukan...kita akan panggil Shahrol lagi," kata Leong yang ditemui pihak media di hadapan pintu masuk Parlimen di sini hari ini.

Menurut Leong, dua prosiding keterangan yang dihadiri Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy lebih memfokus kepada bagaimana pelan rasionalisasi 1MDB mampu melupuskan aset sekali gus melangsaikan hutang.

"Pada hari ini, Arul telah membentangkan pelan rasionalisasi tentang bagaimana 1MDB akan melupuskan aset dan membayar hutang-hutang yang ada.

"...tetapi kami sebagai PAC, mengikut terma rujukan, kami hendak memberikan tumpuan kepada urus tadbir (1MDB), iaitu bagaimana masalah ini timbul kerana Arul telah datang (mula berkhidmat) tahun ini di mana masalah telah pun berlaku.

"Jadi dua kali prosiding bersama Arul adalah untuk mengetahui bagaimana beliau menyelesaikan hutang-hutang yang sedia ada," jelas Leong.

Perkara tersebut juga disahkan oleh salah seorang ahli PAC, Tony Pua yang menyifatkan beberapa soalan masih belum diberi penjelasan terperinci oleh Shahrol Azral.

"Bagaimanapun, Pengerusi (Hasan Arifin) masih belum menetapkan sebarang tarikh untuk memanggil mereka," kata Pua.

Astro AWANI cuba mendapatkan pengesahan daripada Datuk Hasan Arifin berhubung perkara di atas, namun gagal.

Prosiding keterangan kali kedua Arul Kanda bermula pukul 9.15 pagi tadi di mana pihak media tidak dibenarkan untuk masuk ke Parlimen bagi membuat liputan.