Seluruh dunia akan tertumpu ke Pyeongchang, Korea Selatan pada 9 hingga 25 Februari ini bagi menyaksikan berlangsungnya temasya Olimpik Musim Sejuk 2018.

Daerah di kawasan pergunungan Taebaek di wilayah Gangwon, antara lokasi tersejuk di dunia itu akan membuka pintunya kepada 6,500 delegasi dari 96 buah negara bertanding.

Malaysia, negara tidak bermusim sejuk ini, turut tidak terlepas menghantar wakil untuk beraksi di pentas beku penuh berprestij itu nanti, iaitu atlet figure skating, Julian Yee Zhi-Jie.

Namun sebenarnya bukan Julian seorang sahaja.

Tugas mengibar Jalur Gemilang di bumi Korea turut akan digalas oleh seorang lagi wira, tetapi aksinya bukan di gelanggang dan trek.

Chef Faizul Hazly Ghazali, diberi tanggungjawab untuk mengepalai operasi dapur makanan halal pada temasya sukan musim sejuk itu nanti bagi menyediakan makanan halal untuk 170 atlet, jurulatih dan perwakilan yang beragama Islam.

Bukan calang-calang

Ia merupakan tuah anak Senawang, Negeri Sembilan kelahiran Johor itu yang dipilih oleh Shinsegae Food, hasil jalinan kerjasama syarikat pengeluar makanan terbesar Korea Selatan yang merupakan pembekal makanan rasmi untuk kejohanan sukan itu dengan syarikat Malaysia, Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd. (Mamee).

Pemilihan itu sekali gus menjadikannya anak Malaysia pertama yang menggalas tanggungjawab tersebut.

“Mula-mula memang terkejut macam tak percaya, ya lah Olimpik ini bukan calang-calang.

“Jadi apabila diberi kepercayaan, saya ambilnya dengan serius bukan semata-mata sebagai chef Muslim yang perlu ada di situ, tetapi keseluruhan perspektif halal termasuk peralatan, perkakas dan segalanya,” kata chef berusia 39 tahun itu.

Chef Faizul mempunyai pengalaman luas dalam bidangnya lebih daripada 20 tahun.

Chef Faizul mempunyai pengalaman luas dalam bidangnya selama lebih 20 tahun dengan pengkhususan dalam masakan Jepun, dan menjadi Chef Eksekutif Mamee sejak lebih kurang 10 tahun yang lepas di samping chef selebriti terkemuka, Datuk Chef Ismail Ahmad dalam pembangunan produk eksklusif syarikat tersebut.

Persiapan untuk dapur halal Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang katanya sudah bermula sejak lebih setahun yang lepas, apabila bermulanya perjalanannya ulang-alik Kuala Lumpur-Korea Selatan untuk mempelajari ilmu baharu dan memastikan segalanya diatur dan dilaksana seperti dirancang.

Di Perkampungan Olimpik di Pyeongchang, diwujudkan dapur berasingan khusus untuk memasak dan menyediakan makanan halal yang mengikut piawaian yang digariskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diiktiraf dunia, disokong Persekutuan Muslim Korea (KMF).

"Pada awalnya mereka langsung tidak tahu pasal halal, yang tahu pun sedikit, dan mereka ingat halal ini tidak ada babi sahaja. Lepas kita beri penjelasan dan nasihat seperti cara betul sembelihan dan pengendalian makanan, barulah mereka faham.

“Yang menariknya macam ayam dan itik bercakaplah!,” menceritakan pengalamannya.

“Saya akan dibantu 15 orang chef Korea, mujur ada dua orang lagi pembantu di bahagian penyelidikan dan pembangunan, seorang dari Malaysia dan seorang lagi dari pihak Shinsegae dari India yang mahir berbahasa Korea. Senang lah sikit nak berkomunikasi.”

Kira-kira 19,000 hidangan Halal akan dihasilkan pasukan Chef Faizul untuk disajikan 24 jam kepada para delegasi Muslim, antaranya sup lentil, kambing panggang, ayam gril dan pelbagai lagi.

Untuk memastikan ia dapat dilaksana dengan cukup dan lancar, hampir 6,000 kilogram ayam, lembu, kambing dan makanan laut dibeli daripada vendor-vendor halal dari serata tempat antaranya Brazil dan Australia.

Paling sejuk

Bertugas dalam sukan Olimpik Musim Sejuk yang dijangka menjadi yang tersejuk dalam sejarah penganjuran sejak di Norway pada 1994, Chef Faizul sudah bersedia untuk berjuang dalam suasana yang amat asing dan mencabar bagi darah Melayunya.

Untuk lebih 40 hari termasuk Paralimpik sehingga 18 Mac, Chef Faizul akan berjauhan dari keluarga di tanah air yang nyaman dan mengharung cuaca sejuk di kawasan pergunungan dengan purata suhu sekitar 15 darjah Celcius di bawah paras beku.

Mujur dia tidak beraksi di luar, tugasnya hanya tertumpu di dalam dapur hangat. Bagaimanapun, dia sedikit kecewa apabila makanan tradisi Malaysia tidak dapat dimasukkan ke dalam menu harian delegasi, akur dengan diet para atlet dan piawaian standard yang telahpun digariskan.

“Terpaksalah bertabah dengan kesejukannya, makanannya pun itu sahajalah.

“Mahu tak mahu, mental dan fizikal kena bersedia. Ini satu pengalaman hebat untuk saya,” katanya.

Dari kiri: Pengurus Hal Ehwal Islam dan Hubungan Kerajaan, Mamee, Ahmad Syukry Ibrahim; Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee; Ketua Pegawai Eksekutif Mamee-Shinsegae, Vuitton Pang Hee Cheah; Ketua Pegawai Perniagaan Shinsegae Food, Yang Seong-yong; dan Chef Faizul

Dengan komuniti Muslim seramai sekitar 100,000 orang dan semakin berkembang di Korea Selatan, Shinsegae Food mengambil langkah untuk memperkasa kedudukannya dengan mempelajari penghasilan makanan halal dari Mamee untuk memperluas penguasaannya bukan setakat di Korea, malah ke seluruh Asia.

Pulangannya, Mamee-Double Decker dapat mempelajari teknologi pembuatan makanan, terutamanya dalam bahagian perkhidmatan makanan yang mahu diteroka syarikat berpengkalan di Ayer Keroh, Melaka itu malah dapat turut memperluaskan jenama tempatan itu ke pasaran lebih luas.

“Kita telah menjalin hubungan yang baik sejak beberapa tahun yang lepas, dan kami percaya dengan kuasa jenama Mamee juga kepakaran mereka dalam penghasilan makanan halal. Memandangkan populasi halal semakin berkembang, kami melihat ini satu peluang besar untuk kami,” kata Ketua Pegawai Perniagaan Shinsegae Food, Yang Seong-yong.

Jalinan kerjasama

Sementara itu kata Ketua Pegawai Eksekutif Mamee-Shinsegae yang juga Pengarah Strategi Korporat dan Kewangan Mamee, Vuitton Pang Hee Cheah, persahabatan dua syarikat ini yang dimeterai pada November lalu membolehkan Gelombang Korea atau K-Wave dapat dinikmati lebih luas oleh rakyat Malaysia.

“Sebelum ini orang kita hanya mampu menikmati penuh muzik K-Pop dan drama-drama Korea sahaja, tetapi tidak makanan kerana kita tahu bahawa makanan Korea kebanyakannya berasaskan elemen yang tidak halal.

“Selepas ini akan terhasil lebih banyak produk autentik Korea buatan Malaysia yang pasti akan memenuhi kehendak dan citarasa komuniti Muslim khususnya di Malaysia dan pasaran luar,” jelasnya.

Vuitton turut memaklumkan, ‘anak pertama’ daripada ‘perkahwinan dua gergasi’ ini adalah produk mi ramen Korea yang dijangka akan menemui pasaran seawal Mac nanti.