Seorang lelaki Orang Asli mengaku tidak bersalah atas kesalahan memiliki gading gajah di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan, hari ini.

Tertuduh, Ajan Yatim, 51 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 6 petang di Kampung Sugi, Pos Pasik pada 12 November lalu.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menyimpan dua batang gading gajah (Elephas maximus) iaitu sejenis hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya lantaran disenarai dalam jadual kedua kelas Mamalia Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 68 (1) (b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh juga menghadapi dua lagi pertuduhan iaitu memiliki selaras senapang jenis Stevan nombor siri 14466 dan 31 butir peluru tanpa lesen atau permit yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Jika sabit kesalahan memiliki senapang tertuduh boleh dihukum penjara dengan tempoh 14 tahun dan disebat tidak kurang 6 sebatan.

Bagi kesalahan memiliki peluru pula, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 7 tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh diwakili peguam, Mariana Che Kudin, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Habibullah Mohammad Shah serta dibantu oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan, Primus Lambut.

Hakim Zaman Mohd. Noor mengenakan ikat jamin RM8,000 kepada tertuduh dan menetapkan 16 Januari 2020 untuk sebutan semula kes.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, seorang lelaki Orang Asli ditahan polis selepas pemeriksaan yang dilakukan di rumahnya di Kampung Sugi dekat Pos Pasik, Gua Musang menemui dua gading gajah dan sepucuk senapang patah bersama 31 butir peluru pada minggu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, lelaki berusia 51 tahun itu adalah penduduk tempatan dan rumahnya diperiksa selepas pihak berkuasa menerima maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, serbuan dilakukan pada jam 6 petang sempena Ops Bersepadu Khazanah oleh sepasukan pegawai Jabatan Perhilitan Kelantan bersama empat anggota Batalion 18 Pasukan Gerakan Am dan tiga kakitangan Jabatan Perhutanan negeri.