Masih ada pemandu bas yang melakukan kesalahan di jalan raya walaupun tahu tentang taktik penyamaran anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai penumpang.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata antara kesalahan dikesan ialah memandu di lorong kanan tanpa henti, menggunakan telefon bimbit, dan merokok semasa memandu.

Setakat ini, 36 kes kesalahan direkodkan sepanjang penyamaran dilakukan anggota JPJ melibatkan 87 buah bas dalam Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019 setakat Isnin.

"Sebanyak 36 (kes) kesalahan ini dikesan pegawai JPJ yang menyamar di dalam bas. Sehingga hari ini, kita telah menaiki 87 bas; dalam bas ada dua pegawai.

"Semua kesalahan ini boleh diambil tindakan kerana kita simpan rekod," katanya dalam sidang media selepas melakukan pemantauan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sempena Ops HRA 2019, di sini, pada Isnin.

Melalui maklumat lengkap dan rakaman video hasil penyamaran, pemandu bas yang melakukan kesalahan akan disaman selepas kenderaan itu tiba di destinasi.

"Kesalahan yang dilakukan itu kita akan rakam dulu, kemudian baru kita saman. Perkara ini masih berlaku walaupun kita sudah uar-uarkan ada pegawai kita dalam bas," ujarnya.

Dalam pada itu, Ops HRA 2019 setakat ini berjaya mengesan tiga pemandu bas yang berada di bawah pengaruh dadah.

Ketiga-tiga mereka ditahan sebelum berlepas dari terminal.

"Kes berlaku di Perak dan Selangor. Kita meminta syarikat bas berkenaan menggantikan pemandu dan pihak Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis akan mengambil tindakan selanjutnya," katanya lagi.