Kerajaan negeri telah mencapai persetujuan dengan pengendali Terminal Amanjaya, Perak Transit Berhad untuk melanjutkan operasi jualan tiket di kaunter sehingga 31 Mac 2019.

Dengan pengangguhan itu, arahan untuk menghentikan operasi jualan tiket di kaunter Terminal Amanjaya pada 8 Mac adalah terbatal.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong berkata, ia bertujuan memberi ruang kepada proses perbincangan melibatkan semua pihak berkepentingan dan pihak berkuasa berkaitan.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil maklum keluhan dan keresahan syarikat pengendali perkhidmatan bas ekspres dan 200 ejen yang beroperasi di Terminal Amanjaya, Bandar Meru Raya susulan cadangan pengenalan Sistem Tiket Berpusat (CTS).

“Justeru, perbincangan lanjut melibatkan semua pihak berkepentingan dan agensi-agensi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), akan dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, isu pengenalan sistem CTS turut dilaporkan berlaku di lain-lain terminal bas di seluruh negara dan kerajaan negeri komited untuk mencari kaedah penyelesaian yang selari dengan perancangan semua agensi terlibat di peringkat negeri dan Persekutuan.

Pada masa yang sama, ujarnya, kerajaan negeri juga akan mengambil kira faktor kebajikan ejen kaunter tiket serta harapan masyarakat umum yang mahu melihat penambahbaikan kepada mutu perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini.