Pelbagai barangan termasuk tong gas petroleum cecair (LPG) dan minyak petrol cuba diseludup keluar ke Filipina dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Laut Tanjung Aru, pada Rabu.

Dalam satu operasi Op Pensura kira-kira jam 12.10 tengah hari itu, anggaran barangan seludup bernilai RM13,777 telah dirampas.

Difahamkan, bot ronda RH 36 Pasukan Polis Marin Sandakan di perairan laut Tanjung Aru telah mengesan sebuah perahu yang menghala ke Filipina

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah Mohamad Pajeri Ali berkata, perahu tersebut membawa pelbagai jenis barang dipercayai untuk dibawa ke negara jiran tanpa kebenaran pihak berkuasa dan diakui sendiri oleh juragannya seorang lelaki warga asing.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas perahu tersebut telah menjumpai dua tong gas LPG jenama Mygaz, lima gelen tong berisi minyak petrol, 16 bungkus gula pasir (satu kilogram), 32 tin susu cair dan paket pelbagai jenama, 35 jenis barangan runcit serta perhiasan wanita serta alat tulis yang disyaki untuk pasaran di negara jiran.

"Turut dirampas sebuah perahu serta dua enjin sangkut jenama Yamaha 15 kuasa kuda dan Jenama Suzuki 40 kuasa kuda," katanya dalam satu kenyataan pada media pada Khamis.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM13,777.40.

Tambahnya, tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.